Konflik manusia dan gajah semakin membimbangkan - MB Johor

Iklan
Onn Hafiz melawat Pusat Santuari Gajah di Kota Tinggi baru-baru ini.

JOHOR BAHRU - Lebih 100 aduan konflik manusia dan gajah liar direkodkan setiap tahun di Johor dengan kerugian dianggarkan mencecah RM1.1 juta.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, penyelesaian yang menyeluruh diperlukan bagi mengimbangi pemuliharaan alam dan keselamatan penduduk memandangkan negeri ini menjadi habitat kepada 120 hingga 160 ekor gajah liar.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, kerajaan negeri telah merangka strategi jangka pendek, sederhana dan panjang bagi menangani isu ini secara komprehensif.

"Bagi langkah jangka pendek, kerajaan akan meningkatkan kawalan di kawasan hotspot, menambah anggota Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) serta memindahkan gajah ke lokasi lebih sesuai.

Iklan

"Untuk jangka sederhana, pemasangan kolar satelit akan dilaksanakan bagi memantau pergerakan gajah liar, selain pembinaan halangan fizikal di Hutan Simpan Kekal (HSK) bagi mengelakkan pencerobohan ke kawasan penempatan.

"Sementara itu, dalam jangka panjang, kerajaan akan membangunkan Food Bank Gajah di sempadan koridor gajah bagi menyediakan sumber makanan alternatif serta memperkasakan JES sebagai pusat pemuliharaan dan ekopelancongan,” katanya dalam muat naik Facebook miliknya pada Ahad.

Iklan

Beliau menegaskan usaha berkenaan bukan sahaja bagi memastikan keselamatan masyarakat setempat tetapi juga untuk melindungi populasi gajah yang menjadi khazanah alam.

"Konservasi gajah bukan sekadar tanggungjawab, tetapi amanah dalam memastikan keharmonian antara manusia dan alam terus terpelihara.

"Dengan pelaksanaan strategi yang komprehensif dan sokongan semua pihak, saya yakin isu ini dapat diselesaikan.

"Kerajaan negeri dengan kerjasama agensi kerajaan, sektor swasta dan institusi penyelidikan terus komited mencari penyelesaian mampan dan berkesan bagi menangani isu ini," katanya.