SUBANG JAYA - Polis sedang mengesan seorang lelaki yang dipercayai terlibat dalam beberapa kes pecah rumah di sekitar USJ 6, di sini, Jumaat lalu.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, pihaknya sebelum itu menerima laporan daripada seorang lelaki yang bekerja dalam bidang insurans berhubung kejadian terbabit.
"Pada jam 6 petang, pengadu yang berada di dalam rumahnya melihat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) sebelum mendapati seorang lelaki bertindak memanjat pagar rumahnya sekitar jam 12.50 tengah malam.
"Suspek kemudiannya dilihat masuk ke anjung dan membuka pintu kereta mangsa yang tidak berkunci sebelum dipercayai mencuri wang tunai RM20 yang disimpan di dalam kenderaan itu," katanya pada Ahad.
Katanya, siasatan awal mendapati suspek menggunakan taktik memanjat tembok rumah sebelum menyelongkar kenderaan bagi mencari barangan berharga untuk dicuri.
"Selepas kejadian itu, suspek dipercayai menggunakan modus operandi sama untuk menceroboh rumah lain di kawasan berkenaan.
"Suspek dipercayai menyelongkar dua kenderaan lain di kawasan perumahan terbabit untuk mencari barangan berharga bagaimanapun suspek kemudiannya bertindak melarikan diri setelah tidak menemui sebarang barangan berharga," katanya.
Menurutnya, semakan awal mendapati dua rumah yang menjadi sasaran suspek terletak kira-kira 300 meter antara satu sama lain.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan Seksyen 447 Kanun Keseksaan.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pusat Kawalan Daerah Subang Jaya di talian 03-78627100 atau Pegawai Penyiasat kes, Inspektor Aiman Hafiz Ahmad Nadzri di talian 018-3957661," katanya.