'Syukur umur masih panjang, besi di kepala selamat dikeluarkan'

Iklan
Muhd Aliff melihat kesan kecederaan yang dialami ayahnya akibat tertusuk besi.

SUNGAI PETANI -"Alhamdulillah, besi berjaya dikeluarkan."

Demikian luahan Azlan Mahmud, 55, mangsa kemalangan yang mengalami kecederaan apabila pipi kanannya tertusuk besi sehingga ke kepala selepas motosikal ditungganginya terbabas ke dalam parit di Kampung Bukit Hangus, Jeneri, pada Sabtu.

Iklan
Iklan

Bapa kepada lima anak itu bersyukur apabila doktor mengesahkan kecederaannya tidak membawa komplikasi serius selepas selesai menjalani pembedahan bagi mengeluarkan besi tersebut pada awal pagi Ahad.

"Syukur, umur masih panjang dan besi itu berjaya dikeluarkan tanpa perlu menjalani pembedahan rumit awal pagi tadi," katanya ketika ditemui di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini pada Ahad.

Iklan

Menurutnya, prosedur yang bermula jam 1 pagi itu mengambil masa kira-kira dua jam sebelum besi berkenaan berjaya dikeluarkan sepenuhnya.

"Saya bernasib baik kerana dimaklumkan besi itu tidak mengenai bahagian otak," ujarnya.

Iklan

Azlan yang menetap di Batu 3, Jalan Jeniang, Gurun berkata, dia mengambil upah membuat penghadang longkang di Kampung Bukit Hangus, Sik, sejak dua hari sebelum Ramadan atas permintaan penduduk kampung bagi memudahkan mereka membawa keluar hasil kelapa sawit.

"Saya baru selesai membancuh simen dan mahu mengambil pam air menggunakan motosikal roda tiga milik rakan di kampung berhampiran.

"Sewaktu menuruni bukit, motosikal tiba-tiba terbabas ke dalam tapak pembinaan, menyebabkan besi cerucuk tertusuk ke pipi dan kepala saya.

"Saya cuba bangun dan menggerakkan kepala, tetapi tidak berdaya. Saya hanya mampu menadah tangan menahan darah daripada terus mengalir," katanya.

Secara kebetulan, dua penduduk kampung yang datang untuk melihat kerja-kerja pembinaan itu terkejut apabila mendapati Azlan terjatuh dalam keadaan kepala tertusuk besi.

"Mereka segera memotong besi menggunakan alat pemotong bagi memudahkan saya bergerak," tambahnya.

Azlan dihantar ke Hospital Sik sebelum dirujuk ke HSAH untuk rawatan lanjut.

Sementara itu, anak bongsunya, Muhd Aliff, 22, bersyukur kerana keadaan bapanya semakin pulih.

"Syukur, ayah selamat dan tidak mengalami kecederaan teruk walaupun gambar yang tular kelihatan agak ngeri. Insya-Allah, berdasarkan tahap kesihatannya, kemungkinan besar ayah dibenarkan keluar dalam masa terdekat.

"Kami menganggap kejadian ini sebagai ujian tambahan lagi ketika dalam bulan Ramadan," katanya.