KUALA TERENGGANU - [DIKEMAS KINI] Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar menegaskan bahawa sebarang tauliah mengajar yang dikeluarkan oleh Jabatan Agama Islam negeri wajar ditarik sekiranya individu terbabit disabitkan dengan kesalahan jenayah.
Beliau turut menyeru masyarakat agar membuat laporan polis sekiranya mengetahui sebarang kesalahan yang melibatkan agamawan supaya tindakan sewajarnya dapat diambil.
"Saya berharap masyarakat tampil membuat laporan kerana kita mahu mengambil tindakan yang adil. Sebagai contoh, Jabatan Agama Islam memberikan tauliah kepada guru yang mengajar. Jika mahu menarik balik tauliah tanpa sebarang sabitan kesalahan, ia akan menjadi sukar.
"Justeru, saya berharap masyarakat yang mengetahui sebarang perlakuan jenayah melibatkan agamawan agar segera membuat laporan supaya tindakan yang adil dapat diambil. Jika individu tersebut disabitkan kesalahan, maka lebih mudah bagi pihak Jabatan Agama Islam negeri untuk menarik balik tauliah mereka," katanya kepada pemberita selepas merasmikan penjenamaan semula The Grand Puteri Hotel di sini pada Ahad.
Menurut beliau, golongan agamawan seharusnya menjadi contoh teladan kepada masyarakat dan tidak menyalahgunakan ilmu serta kepercayaan yang diberikan kepada mereka.
"Harapan kita adalah agar agamawan menunjukkan akhlak yang baik, namun ada segelintir yang menyalahgunakan kedudukan mereka.
"Jika timbul sebarang isu jenayah, saya berharap masyarakat segera melaporkannya kepada polis supaya tindakan dapat diambil. Saya percaya pihak berkuasa akan menjalankan siasatan secara adil," jelasnya.
Sebelum ini, media melaporkan seorang remaja lelaki berusia 17 tahun mendakwa dipukul oleh seorang lelaki akibat perselisihan faham ketika mereka sedang memandu di Saujana Impian.
Akibat kejadian itu, remaja berkenaan mengalami retak pada tulang batang hidung dan mendapatkan rawatan di Hospital Kajang.
Siasatan mendapati remaja terbabit tidak mempunyai lesen memandu dan telah dikenakan saman trafik, manakala lelaki berusia 39 tahun itu ditahan sekitar Kajang pada jam 9.50 malam hari yang sama sebelum direman sehari.
Susulan kejadian itu, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) telah diarahkan untuk menyemak sama ada individu berkenaan memiliki tauliah mengajar daripada Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).
Exco Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi negeri, Dr Mohammad Fahmi Ngah, berkata, jika individu terbabit merupakan pemegang tauliah, maka tauliah tersebut wajar ditarik balik serta-merta dan individu itu diharamkan daripada mengajar agama di Selangor.