'Jika berlaku pelanggaran syariat Islam, lapor kepada pihak berkuasa'

Iklan
Mohd Na'im Mokhtar menyampaikan sumbangan Aidilfitri kepada anak-anak yatim Pertubuhan Kebajikan Anak- anak Yatim dan Miskin Darul Akhyar, Batu Rakit pada Majlis Berbuka Puasa dan Penjenamaan Semula Hotel Wakaf The Grand Puteri Terengganu, hari ini. Foto Bernama

KUALA TERENGGANU - Orang ramai digesa membuat laporan kepada pihak berkuasa sekiranya berlaku kejadian jenayah atau pelanggaran syariat Islam, termasuk kesalahan melibatkan agamawan serta penerbitan filem atau drama yang menimbulkan rasa tidak senang dalam kalangan umat Islam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar, berkata, semua penerbitan filem dan drama mempunyai garis panduan yang perlu dipatuhi oleh pihak produksi.

Iklan
Iklan

"Dalam konteks Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), tugas agensi ini adalah mendidik serta mengeluarkan garis panduan yang jelas.

"Namun, jika berlaku pelanggaran, saya berharap masyarakat dapat membuat aduan kepada Kementerian Komunikasi agar tindakan lanjut dapat diambil dengan kerjasama Jakim," katanya kepada pemberita selepas merasmikan penjenamaan semula The Grand Puteri Hotel di sini, Ahad.

Iklan

Baru-baru ini, media sosial tular dengan kebimbangan orang ramai mengenai adegan dalam drama yang dianggap tidak sesuai, terutamanya dalam bulan Ramadan kerana mencemarkan kesuciannya.

Dalam perkembangan lain, Mohd Na'im memaklumkan bahawa Jakim akan memanggil individu yang membuat hantaran di media sosial berhubung isu kronisme dan nepotisme yang dipercayai mengaitkannya dengan Nabi Muhammad SAW.

Iklan

Menurutnya, pihaknya mengambil serius isu tersebut dan akan mendapatkan penjelasan lanjut daripada individu berkenaan.

Sebelum ini, seorang pengguna Facebook menggunakan nama 'Ainon Mohd' membuat hantaran berkaitan perkara itu sehingga mencetuskan kecaman warganet.