SHAH ALAM - Kumpulan Hartal Doktor Kontrak (HDK) menggesa Kementerian Kesihatan (KKM) bertanggungjawab dan mereka yang terlibat dalam kes pembatalan serta penjadualan semula penempatan harus dipindahkan serta merta ke jabatan lain.
Jurucakap HDK berkata, ini sesuatu yang amat memalukan dan jika Menteri KKM, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berdiam diri, ia menunjukan kepimpinan beliau yang amat lemah.
Menurutnya, sudah dua kali penangguhan penempatan berlaku dan ia melibatkan pegawai perubatan kontrak yang ramai iaitu 2,245 orang.
"Penangguhan in tidak sepatutnya berlaku kerana telah menyusahkan semua doktor yang terlibat. Kami hanya mahu e-penempatan asal pada 27 Februari dikembalikan semula.
"Ini kerana, ada diantara kami telah mengatur jadual masing-masing dan itu melibatkan pengambilan cuti, tempahan hotel, tiket kapal terbang sekiranya kawasan mereka tiada liputan internet yang bagus.
"Sekarang mereka kena buat semua itu sekali lagi dan lebih malang penanggguhan ini diumumkan amat lewat, semalam (Sabtu) dapat email, sepatutnya esok replacement tersebut. Ini menyukarkan untuk ambil cuti lagi kerana jabatan mereka juga pasti kekurangan kakitangan,” katanya kepada Sinar Harian.
Pada 27 Februari 2025, doktor-doktor kontrak telah menjalani proses e-penempatan dan melapor diri ke Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) masing-masing.
Namun pada 6 Mac 2025, mereka dimaklumkan bahawa ia dibatalkan tanpa sebarang penjelasan.
Bagaimanapun pada 17 Mac 2025, mereka sekali lagi diberitahu bahawa e-penempatan akan dijadualkan semula.
Kurang dua hari sebelum tarikh baharu, pada jam 11.45 malam, kumpulan doktor kontrak menerima satu lagi emel yang menyatakan e-penempatan ditangguhkan lagi ke 25-27 Mac.
Tambah jurucakap HDK, ini adalah satu rayuan terdesak daripada lebih 2,000 doktor kontrak yang kini mempertimbangkan masa depan mereka dalam bidang perubatan.
"Kami hanya mahukan stabiliti, rasa hormat dan peluang untuk berkhidmat kepada negara tanpa gangguan yang berterusan.
"Buat masa ini belum ada perancangan untuk berjumpa atau berbincang dengan kementerian mengenai perkara tersebut.
"Diharapkan pihak pihak berwajib dapat buka mata dan memberi ketidakadilan kepada kami,” jelasnya.