KEHADIRAN pemain warisan dan naturalisasi wajar dijadikan sebagai pembakar semangat buat anak tempatan untuk memperagakan aksi luar biasa bagi merebut tempat dalam skuad bola sepak negara.
Bekas pemain kebangsaan, Azlan Johar berkata, ia sewajarnya menjadi persaingan yang sihat buat pemain tempatan dengan melipat gandakan usaha untuk memikat hati jurulatih, Peter Cklamovski.
Malah beliau berkata, peluang untuk mewakili skuad Harimau Malaya adalah satu penghormatan terbesar dalam karier seseorang pemain.
"Pemain warisan ramai yang masuk selain program naturalisasi. Anak tempatan kena kerja sangat-sangat kuat.
"Di mana anda (pemain tempatan), lihat diri sendiri. Adakah anda hanya mahu menonton sahaja.
"Bukankah mewakili negara ini adalah satu penghargaan yang tidak ternilai. Demi lencana di dada,” katanya kepada Sukan Sinar.
Cklamovski pada Khamis mengumumkan bahawa tiga pemain warisan baharu dijangka diumum oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) pada minggu ini.
Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail menerusi catatan di laman sosial pada Jumaat pula berkongsi status pemain warisan yang dalam proses menunggu kelulusan daripada kerajaan.
Malah baginda turut berkongsi foto Cklamovski bersama individu dipercayai Hector Hevel yang memegang jersi Harimau Malaya.
Azlan turut melihat skuad Harimau Malaya pada kali ini penuh misteri daripada aspek taktikal dan corak permainan selepas ia dikemudi jurulatih baharu dari Australia.
Malah beliau berkata, pengendali itu juga mungkin berdepan cabaran untuk memahami karakter pemain, namun dengan magis Tunku Mahkota Ismail ia mampu diurus dengan baik.
"Saya juga berharap pemain warisan ini lebih baik daripada semua segi berbanding anak tempatan. Mereka bukan setakat membantu (Harimau Malaya), tetapi lebih dari itu menjadi contoh terbaik,” katanya.
Sebagai rekod, Malaysia dalam proses persiapan untuk mengharungi pusingan ketiga Piala Asia 2027 apabila dijadual menentang Nepal di Stadium Sultan Ismail pada 25 Mac.
Selain Nepal, Malaysia turut diundi dalam Kumpulan F bersama Vietnam dan Laos namun hanya juara kumpulan akan mendapat slot ke Piala Asia 2027 bagi menyertai 18 pasukan yang sudah layak daripada pusingan kedua sebelum ini.