BEIT LAHIA - Tempoh bertenang di Genting Gaza sekali lagi dicabuli rejim Zionis selepas sembilan terkorban dalam insiden serangan udara pada Sabtu.
Kementerian Kesihatan memaklumkan Pasukan Pertahanan Israel (IDF) menyasarkan bandar utara Beit Lahia ketika rundingan pusingan baharu perjanjian gencatan senjata sedang berlangsung di Kaherah.
Menurutnya lagi, beberapa mangsa cedera parah selepas Zionis membedil sebuah kenderaan yang membawa staf untuk menyertai misi badan amal, Yayasan al-Khair yang turut disertai sejumlah petugas media.
"Sekurang-kurangnya tiga wartawan tempatan maut dalam serangan itu. Dua jurugambar terkorban adalah staf saluran TV Ayn yang berpusat di Oman,” lapor media Palestin.
IDF memberi alasan kononnya operasi itu dilancarkan setelah ia mengenal pasti dua individu mengendalikan dron yang mengancam anggota mereka di Beit Lahia.
Di bawah operasi secara melulu, ia kemudiannya menyasarkan beberapa suspek lain yang mengambil peralatan dron.
Ketua Pejabat Media di Gaza, Salama Marouf bagaimanapun menafikan tuduhan IDF yang sewenang-wenangnya melabel mangsa sebagai 'pengganas'.
"Pasukan itu terdiri daripada orang awam dan mereka bertugas di kawasan berhampiran pusat perlindungan penduduk Palestin. Mereka tidak menceroboh zon larangan dan tidak mendatangkan sebarang ancaman kepada tentera Israel,” tegasnya.
Peningkatan berbahaya
Pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Palestinian Journalists Syndicate melihat jenayah kejam itu berlaku dalam konteks sasaran sistematik ke atas wartawan Palestin yang sanggup menggadai nyawa mereka untuk mendedahkan kekejaman Zionis kepada dunia luar.
Pengarah media bersekutu dengan Hamas, Ismail Thawabteh pula menjelaskan wartawan foto yang gugur syahid itu sedang mengendalikan dron untuk merakamkan imej meja makan Ramadan di Beit Lahia.
"Dua serangan udara sengaja dilancarkan ke atas mereka yang sedang bertugas,” ujarnya.
Sementara itu, Hamas menyifatkan serangan terbaharu itu sebagai 'peningkatan berbahaya' terhadap situasi yang rapuh di wilayah berkenaan.
Tambahnya, Israel sengaja melanggar perjanjian gencatan senjata dan menghalang tempoh bertenang secara kekal di Gaza serta menjejaskan perjanjian pertukaran tahanan.
"Segala keputusan kini terletak di tangan Tel Aviv selepas kami bersetuju dengan pembebasan seorang tawanan warga AS-Israel dan mengembalikan empat mayat tebusan jika ia kembali ke meja rundingan,” ujar jurucakap gerakan itu.
Sejak fasa pertama perjanjian gencatan senjata berakhir pada 2 Mac lalu, Israel menggunakan pelbagai helah dan menggunakan pendekatan 'perang psikologi' untuk tidak meneruskan pusingan baharu rundingan damai.
Rejim Tel Aviv berkeras untuk melanjutkan fasa pertama perjanjian gencatan senjata tersebut yang turut disokong Wakil Khas Amerika Syarikat (AS) ke Asia Barat, Steve Witkoff. - Agensi
Info:
>Pada bulan lalu, Jawatankuasa Perlindungan Wartawan (CPJ) memaklumkan seramai 85 petugas media terkorban di Gaza dan 82 daripadanya adalah wartawan media tempatan.
>Sejak 19 Januari lalu, kira-kira 150 penduduk Palestin menjadi korban kezaliman Zionis meskipun perjanjian gencatan senjata fasa pertama masih berkuat kuasa.