KUANTAN - Sistem Lampu Diod Pemancar Cahaya (LED) bercekapan tinggi, ‘UMP-Rediac LED Stick’ ciptaan penyelidik Universiti Malaysia Pahang (UMP) menerima pingat emas dan anugerah khas The Best Award for Consumer Electronics pada Malaysia Technology Expo (MTE) 2020, kelmarin.
Inovasi sistem LED yang dihasilkan Pensyarah Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik, Ikram Mohd Rashid bersama Hisaji Noda ini rendah haba dan tidak memerlukan sirip penyejuk berbanding produk di pasaran.
Ikram berkata, sistem LED UMP Rediac itu boleh diaplikasikan untuk produk LED, lampu taman, lampu limpah, lampu jalan dan lain-lain.
Alat ini lebih mudah dibawa dan tidak memerlukan sumber tenaga daripada utiliti lain.
"Ia juga mampu menyelesaikan masalah pengguna untuk mendapatkan sumber cahaya pada waktu malam seperti peniaga pasar malam, pengembara dan mekanik," katanya.
Pada pameran di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Kuala Lumpur itu juga, UMP meraih pencapaian cukup membanggakan apabila hasil penyelidikan penyelidiknya meraih empat pingat emas dan enam pingat perak.
Tiga lagi pingat emas disumbangkan hasil penyelidikan dua Pensyarah Fakulti Teknologi Kejuruteraan Awam UMP, Ir Dr Chin Siew Choo melalui kajian yang bertajuk ‘OHE-CRETE: Sustainable Building Materials’ dan Dr. Waheb Jabar dengan produk penyelidikan ‘NB-IoT-FMWS’.
Sementara itu, Nor Azhar Ahmad daripada Fakulti Komputeran turut meraih emas melalui produknya ‘HeDoo Space, Teach & Learn - An Environmental IoT Analysis Modules & Generic Circuit Board’.
Enam pingat perak disumbang hasil penyelidikan Profesor Madya Dr Agus Geter Edy Sutjipto, Dr Mohd Shaiful Zaidi Mat Desa, Dr Nadzirah Mohd Mokhtar, Profesor Madya Dr Noraziah Ahmad, Dr Wan Isni Sofiah Wan Din dan Dr Ahmad Firdaus Zainal Abidin.
Pengerusi Lembaga Pengarah UMP, Datuk Seri Ibrahim Ahmad yang turut hadir pada MTE 2020 berkata, pameran itu menjadi platform penyelidik termasuk dari UMP mempamerkan dan mempertandingkan hasil kajian produk mereka kepada khalayak umum dan industri.
Katanya, UMP sangat bertuah kerana mempunyai ramai penyelidik muda dan berpotensi menghasilkan produk penyelidikan dan inovasi berimpak tinggi.
"Kejayaan penyelidik UMP ini amat membanggakan apabila penyelidikan mereka diiktiraf malah penyertaan ini turut membuka peluang kolaborasi bersama pihak industri, pihak industri kecil dan sederhana (SME) serta dimanfaatkan masyarakat umum bersesuaian dengan slogan UMP iaitu Teknologi Untuk Masyarakat," katanya. - Bernama