Umat Islam di Malaysia semakin celik kewangan

Iklan
Tahap kesedaran mengenai kepentingan celik kewangan dalam kalangan umat Islam di negara ini semakin menunjukkan peningkatan. Gambar hiasan (Gambar kecil: Umi Hamidaton)

SHAH ALAM - Tahap kesedaran mengenai kepentingan celik kewangan dalam kalangan umat Islam di negara ini semakin menunjukkan peningkatan.

Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Muamalat Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Umi Hamidaton Mohd Soffian Lee berkata, perkembangan itu didorong oleh keterbukaan masyarakat untuk mempelajari prinsip pengurusan kewangan berlandaskan syariah.

Iklan
Iklan

Beliau bagaimanapun menjelaskan, usaha berterusan perlu dilakukan bagi memberi lebih kesedaran kepada umat Islam untuk memahaminya dengan menyeluruh.

"Secara umumnya, masih terdapat segelintir masyarakat Islam yang belum menyedari sepenuhnya kepentingan merancang kewangan dengan baik. Ini termasuk pengurusan hutang yang teratur, mengelakkan pembaziran, serta memahami konsep kewangan Islam seperti larangan riba dan gharar.

Iklan

"Kegagalan mengurus harta dengan bijak boleh memberi kesan buruk bukan sahaja kepada individu, tetapi juga kepada kestabilan kewangan keluarga dan komuniti,” katanya ketika dihubungi pada Ahad.

Ujarnya, bagi membantu mengukuhkan kestabilan kewangan, beberapa tabiat positif boleh diamalkan, antaranya membuat bajet yang sesuai berdasarkan pendapatan dan keperluan asas, mengutamakan pembelian secara tunai, serta mengelakkan penambahan hutang yang tidak perlu.

Iklan

Beliau menambah, masyarakat juga digalakkan untuk menabung dan melabur dalam platform patuh syariah, selain sentiasa berwaspada terhadap transaksi yang mengandungi unsur riba atau gharar.

"Amalan bersedekah dan menunaikan zakat turut disarankan bagi mencari keberkatan rezeki dan ketenangan dalam pengurusan kewangan,” katanya.

Menurutnya, instrumen zakat dan wakaf juga memainkan peranan penting dalam menangani isu kemiskinan, namun keberkesanannya bergantung pada pengurusan dan tata kelola yang baik.

"Zakat mampu membantu penerima dalam jangka pendek, manakala wakaf berpotensi menjadi sumber pembangunan ekonomi berterusan jika dimanfaatkan secara strategik.

"Contohnya, wakaf boleh digunakan untuk membangunkan kemudahan asas seperti pendidikan, perumahan dan kesihatan yang memberi manfaat jangka panjang kepada masyarakat,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, masih terdapat pengguna yang berbelah bahagi untuk memilih antara perbankan konvensional atau Islam.

"Sebahagian masyarakat masih kurang memahami produk perbankan Islam dan menganggapnya sekadar perubahan istilah.

"Sedangkan sistem ini beroperasi tanpa unsur riba dan mematuhi prinsip syariah.

"Walaupun terdapat cabaran dari segi pilihan produk dan daya saing, usaha berterusan diperlukan bagi memperkasakan sektor ini agar lebih inklusif dan mudah diakses,” katanya.