A KUMARESAN telah berkhidmat sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Uban selama dua penggal selepas memenangi Pilihan Raya Umum (PRU) pada 9 Mei 2018.
Dalam tempoh berkenaan beliau bertekad membantu golongan muda agar mereka memiliki kediaman sendiri.
Ikuti temu bual bersama wartawan Sinar Harian, SYAJARATULHUDA MOHAMAD ROSLI bersama Naib Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pulau Pinang itu, sekali gus memahami agenda beliau dalam membantu rakyat di kawasan berkenaan.
----------------------------------------
Yang Berhormat (YB) sudah menjadi ADUN Batu Uban selama dua penggal. Apa lagi yang mahu dilakukan untuk penduduk di sini?
Batu Uban merupakan kawasan bandar yang mempunyai penduduk yang padat, terdapat institusi pendidikan, pusat perniagaan dan zon perindustrian. Oleh itu, harus ada keseimbangan dalam perancangan pembangunan supaya ekosistem yang sedia ada tidak terjejas dan terganggu.
Sebagai wakil rakyat, saya juga ingin mengekalkan keharmonian dan meningkat kesejahteraan penduduk dengan menganjurkan aktiviti kebudayaan, majlis perayaan, sukan dan seni yang dapat memupuk nilai semangat kejiranan.
Menyediakan Rumah Mampu Milik (RMM) di Batu Uban juga adalah perkara penting yang ingin direalisasikan oleh saya, bukan setakat RMM malah saya berhasrat untuk melihat kerajaan negeri membina banyak rumah berkonsepkan sewa beli supaya golongan muda di Batu Uban dapat memiliki sebuah rumah.
Selain itu, saya juga ingin menaiktarafkan taman rekreasi atau riadah di kawasan ini dengan konsep kebolehcapaian kepada semua golongan seperti kanak-kanak, warga emas dan orang kelainan upaya juga boleh merasai keindahan tersebut.
Apakah perancangan semasa YB untuk meningkatkan infrastruktur dan kemudahan awam termasuk jalan raya, taman rekreasi dan pusat komuniti?
Sejak saya menjadi wakil rakyat di Batu Uban, fokus saya adalah untuk menaik taraf infrastruktur, kemudahan awam, taman permainan dan rekreasi serta dewan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK). Saya juga memberikan keutamaan kepada pendidikan.
Sebanyak 11 sekolah terdiri daripada lima buah sekolah kebangsaan, lima buah sekolah jenis kebangsaan (SJK) Cina dan sebuah SJK Tamil diberikan sumbangan untuk menjalankan program dan naik taraf infrastruktur sekolah.
Selain itu, masalah tekanan air rendah di Taman Pekaka dan Kampung Desa Baru yang berlaku sejak 2017 juga telah berjaya diselesaikan dengan penggantian paip baharu melibatkan peruntukan sebanyak RM900,000 pada 2021. Sebanyak 29 projek menaik taraf jalan, laluan pejalan kaki, membaiki longkang dan penutup longkang, sistem perparitan dan jalan raya telah dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) dengan kos keseluruhan RM11,331,200.
Apakah inisiatif yang sedang dijalankan untuk meningkatkan kualiti pendidikan dan menyediakan sokongan kepada golongan kurang berkemampuan?
Setiap kali ketika Sidang DUN, saya tidak akan terlepas peluang membangkitkan pertanyaan mengenai pendidikan. Bagi saya setiap ibu bapa mempunyai kewajipan untuk memastikan anak mereka hadir ke sekolah dan mendapatkan pendidikan yang sempurna, sekiranya mempunyai masalah kewangan mereka boleh datang berjumpa dengan saya atau MPKK.
Setiap tahun saya membuat program Kembali ke Sekolah iaitu menyediakan bantuan pakaian seragam dan peralatan sekolah kepada golongan kurang berkemampuan di sini.
Selain itu, kelas tuisyen percuma juga diadakan di Dewan MPKK Sungai Dua dan MPKK Taman Brown. Pusat khidmat saya juga bekerjasama dengan badan bukan kerajaan dan juga Kementerian Sumber Manusia untuk melaksanakan beberapa program latihan kepada pelajar lepasan sekolah.
Dengan kerjasama Tech Dome Penang, beberapa program seperti AI, Robomania dan lawatan ke Tech Dome dianjurkan oleh Pusat Khidmat Batu Uban secara percuma bagi mendorong minat, pemikiran inovasi dan kreatif dalam kalangan pelajar, selain meningkatkan pemahaman pelajar tentang sains dan teknologi.
Apakah program yang disediakan untuk menyokong usahawan tempatan dan meningkatkan aktiviti ekonomi?
Antara usaha dilakukan ialah saya telah memohon kepada kerajaan negeri sekiranya terdapat apa-apa penganjuran atau aktiviti yang diadakan di Batu Uban, usahawan tempatan harus diberikan keutamaan.
Selain daripada itu, dari masa ke semasa, saya juga menganjurkan program latihan dan kursus kepada usahawan baharu serta mereka yang berminat untuk menceburi bidang perniagaan.
Pusat khidmat saya juga sering menjemput agensi seperti Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang, Pinjaman Harapan, Tekun, Amanah Ikhtiar dan Bank Rakyat untuk mengambil bahagian dalam setiap program yang dianjurkan supaya masyarakat yang hadir boleh mendapatkan maklumat mengenai pinjaman, geran dan bantuan yang disediakan melalui kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan.
Pihak Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga Batu Uban juga sering bekerjasama dengan usahawan wanita di kawasan ini untuk penganjuran program dan membantu mereka membuat promosi berkenaan perniagaan yang dijalankan.
Kelas pengurusan media sosial juga giat diadakan supaya usahawan dapat meningkatkan jualan menggunakan e-commerce. Saya juga berhasrat menganjurkan Karnival Keusahawanan Batu Uban pada tahun ini, yang mana karnival ini akan memberi keutamaan kepada peniaga kawasan untuk mengambil bahagian mempromosikan produk dan jenama mereka.
Apakah usaha yang diambil untuk memelihara dan mempromosikan Batu Uban sebagai petempatan Melayu terawal di Pulau Pinang?
Saya pernah mengusulkan di Sidang DUN untuk mewartakan Masjid Batu Uban sebagai tapak warisan tetapi disebabkan masalah tuan tanah yang tidak bersetuju, perkara ini sukar direalisasikan.
Sebelum ini saya juga mencadangkan Pulau Jerejak dijadikan Tapak Warisan Dunia UNESCO. Saya juga bersedia bekerjasama dengan Universiti Sains Malaysia (USM) bagi mempromosikan warisan sejarah Batu Uban.
Cadangan untuk mengekalkan sebahagian tapak Pesta Pulau Pinang di Sungai Nibong adalah langkah yang wajar dipertimbangkan.
Sejak dahulu, Pesta Pulau Pinang menjadi simbol kemeriahan hujung tahun bagi rakyat negeri itu, menarik pelancong serta merancakkan sektor ekonomi setempat.
Sekiranya tapak asal perlu diubah suai akibat pembangunan projek LRT Laluan Mutiara oleh MRT Corporation, maka kompromi perlu dicapai agar tradisi tahunan ini dapat diteruskan tanpa kehilangan identitinya.