EDDIE Howe menjadi pengurus Inggeris pertama yang memenangi trofi dalam tempoh 17 tahun apabila Newcastle United menewaskan Liverpool untuk merangkul Piala Liga pertama mereka di Stadium Wembley, awal pagi Isnin.
Kali terakhir seorang pengurus Inggeris memenangi trofi utama ialah Harry Redknapp bersama Portsmouth yang menjuarai Piala FA pada 2008.
"Ketika saya memenangi Piala FA bersama Portsmouth pada 2008, saya tidak pernah terfikir bahawa kita masih akan menunggu pengurus Inggeris seterusnya untuk menjulang trofi. Tetapi inilah hakikatnya, 17 tahun telah berlalu dan kita masih menanti, sebab itu saya amat berharap Eddie Howe melakukannya bersama Newcastle di Wembley," tulis Redknapp sebelum perlawanan dalam kolumnya untuk The Sun.
Howe juga menjadi pengurus Inggeris pertama memenangi Piala Liga dalam tempoh lebih dua dekad.
Pengurus Inggeris terakhir yang melakukannya ialah Steve McClaren bersama Middlesbrough pada 2004.
"Ia menjadi sukar apabila Liverpool menjaringkan gol. Saya mula terfikir tentang masa tambahan.
"Apa pun, kami telah berlatih selama dua minggu secara konsisten untuk set-piece hanya untuk perlawanan ini dan jika anda melihat kami berlatih, anda pasti tidak menyangka kami ada peluang.
"Kami sendiri tidak percaya Dan Burn menjaringkan gol, dia tidak berlatih seperti itu! Dia benar-benar menjadi tonggak utama untuk kami," ujar Howe.
Howe berjaya mengatasi pengurus Liverpool, Arne Slot dengan mengakui bahawa dia tidak menggunakan taktikal terbaiknya dalam kekalahan 2-0 dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Anfield pada Februari lalu, sebagai strategi untuk menyimpan kejutan bagi perlawanan akhir.
"Kami tidak mahu menunjukkan taktik sebenar kami ketika bermain menentang mereka beberapa minggu lalu. Kami tetap mahu menang dalam perlawanan itu, tetapi dengan cara yang berbeza.
"Kedua-dua pasukan bermain secara lebih langsung dan kami menghadapinya dengan baik. Tiada siapa mahu melakukan kesilapan, tidak banyak bola sepak cantik dimainkan, tetapi kami berkesan di kedua-dua kotak penalti," tambah Howe.
Aksi final di Wembley menyaksikan Newcastle menewaskan pendahulu EPL, Liverpool dengan keputusan 2-1 menerusi Dan Burn (minit ke-45) dan Alexander Isak (m-52).
Federico Chiesa membalas satu gol pada minit keempat masa kecederaan, tetapi Newcastle bertahan untuk menjulang trofi utama pertama mereka sejak Piala Fairs Inter-Cities pada tahun 1969.