Tuchel akhirnya panggil pemain Forest selepas dikecam

Iklan
Gibbs-White dipanggil ke dalam skuad England bagi menggantikan Cole Palmer yang cedera. Foto: Agensi

BINTANG Nottingham Forest, Morgan Gibbs-White telah dipanggil ke skuad England oleh Thomas Tuchel.

Gibbs-White pada mulanya tidak tersenarai dalam skuad 26 pemain pilihan Tuchel, tetapi kini telah dimasukkan untuk aksi kelayakan Piala Dunia menentang Albania dan Latvia pada Sabtu serta Selasa ini.

Iklan
Iklan

Dia secara efektif menggantikan Cole Palmer yang terlepas perlawanan Chelsea menentang Arsenal yang berakhir dengan kekalahan 1-0 akibat kecederaan pada Ahad.

Bagaimanapun, skuad England masih belum mengumumkan secara rasmi ketiadaan Palmer.

Iklan

Pengurus Chelsea, Enzo Maresca sudah pun menjelaskan bahawa Palmer akan direhatkan dan tidak akan menyertai England dalam tempoh rehat antarabangsa.

Ketika ditanya sama ada pemain itu boleh beraksi, Maresca berkata:"Saya rasa tidak. Kami tidak pernah mengharapkan pemain cedera tetapi dalam kes Cole, ini mungkin peluang baik untuknya berehat secara fizikal dan mental. Dia perlu menjalani imbasan dan ia dijadualkan pada Isnin."

Iklan

Ketiadaannya dalam senarai awal Tuchel mencetuskan perdebatan dalam kalangan peminat dan pengkritik pada Jumaat, yang berasa hairan dengan keputusan tersebut.

Pemain berusia 25 tahun itu telah menjaringkan lima gol dan mencatat tujuh bantuan gol dalam 25 penampilan EPL musim ini.

Dia membuat penampilan sulung bersama skuad senior England pada Ogos 2024 selepas dipanggil oleh pengendali sementara, Lee Carsley dan setakat ini telah meraih dua kaps.

Selepas aksi cemerlangnya dalam kemenangan ke atas Ipswich, Gibbs-White menerima pujian daripada penjaring terbanyak sepanjang zaman EPL, Alan Shearer yang mempersoalkan keputusan Tuchel mengetepikannya.

"Morgan sangat tidak bernasib baik kerana tidak dipanggil ke skuad England, terutamanya jika melihat pemain lain yang tersenarai dan prestasinya musim ini.

"Dia adalah antara pemain terbaik Nottingham Forest. Tetapi jika dia terus mengekalkan prestasi seperti ini, saya yakin dia akan berada dalam skuad England pada masa akan datang. Saya tiada keraguan tentang itu," kata Shearer dalam program Match of the Day.

Gibbs-White akan bersaing dengan Jude Bellingham, Eberechi Eze, Declan Rice, Curtis Jones dan Jordan Henderson untuk merebut tempat dalam barisan tengah Tuchel.

Sebelum ini, Tuchel mempertahankan tindakannya mengabaikan Gibbs-White dan dua lagi pemain Forest iaitu Callum Hudson-Odoi dan Elliot Anderson dengan alasan dia sudah mempunyai barisan pemain bertaraf dunia bagi posisi yang dimainkan mereka.