CHELSEA terlepas peluang untuk memperkukuhkan cengkaman slot Liga Juara-Juara musim depan apabila tewas 0-1 kepada Arsenal dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium Emirates.
Mikel Merino yang menjaringkan satu-satunya gol pada minit ke-20 dalam perlawanan itu, memperlihatkan ketumpulan bahagian penyudah The Blues ketika Arsenal merapatkan kedudukan dengan pendahulu Liverpool dengan 12 mata.
Chelsea bertandang ke Emirates tanpa khidmat Cole Palmer kerana kecederaan ternyata berdepan kesukaran untuk merobek gawang Arsenal dalam misi menamatkan saingan kelompok empat terbaik liga.
The Blues kekal di tempat keempat (48 mata) sambil diekori rapat Manchester City (48 mata), Newcastle United (47 mata) keenam, Brighton & Hove Albion (47 mata) ketujuh, diikuti Fulham (45 mata) dan Aston Villa (45 mata) di tempat kelapan, kesembilan dalam jarak empat mata dari skuad Enzo Maresca.
"Tidak ada perbezaan besar dalam kedua-dua perlawanan antara Chelsea dan Arsenal.
"Memandangkan pasukan di belenggu kecederaan, kami berjuang hingga akhir," kata Maresca.
Bahagian penyudah Arsenal sebelum ini juga bergelut untuk menjaringkan gol sejak kehilangan Kai Havertz akibat kecederaan yang menamatkan musimnya, memaksa pemain tengah Merino memainkan peranan sebagai penyerang tengah sementara.
Pemain Sepanyol itu membuktikan penjaring gol kemenangan dari sepakan sudut apabila dia menanduk masuk hantaran Martin Odegaard pada minit ke-20.
"Kami melakukan yang secukupnya untuk layak memenangi perlawanan.
"Sekarang kami mempunyai rehat antarabangsa jadi mari kita ambil peluang untuk bernafas dan membawa beberapa pemain kembali," kata pengendali Arsenal, Mikel Arteta.
Sementara itu, misi Tottenham Hotspur untuk menyambar slot Eropah sekurang-kurangnya Liga Konferensi musim depan terjejas apabila tunduk 0-2 kepada Fulham di Craven Cottage.
The Lilywhites yang tampil ke kubu kuat Fulham dimotivasikan mara ke suku akhir Liga Europa dengan kemenangan ke atas AZ Alkmaar, tumbang jaringan minit ke-78, Rodrigo Muniz diikuti sentuhan Ryan Sessegnon (m-88).
Tottenham bimbingan Ange Postecoglou sebelum ini hanya menang tiga dalam 10 perlawanan liga yang diikuti perlawanan Liga Europa.
"Ia sememangnya kempen yang sukar musim ini.
"Kami telah kehilangan terlalu banyak mata dalam perlawanan yang sepatutnya kami dapatkan sesuatu, dan ini adalah salah satu perlawanan itu," kata kapten Spurs, Son Heung-min.
LIGA PERDANA INGGERIS
Keputusan
Arsenal 1-0 Chelsea
Bournemouth 1-2 Brentford
Fulham 2-0 Tottenham Hotspur
Leicester City 0-3 Manchester United
Manchester City 2-2 Brighton & Hove Albion
Ipswich Town 2-4 Nottingham Forest
Southampton 1-2 Wolverhampton
Everton 1-1 West Ham United