GEORGE TOWN - Siapa hari ini yang tidak kenal dengan Kak Cik Yah? Warga emas berusia 75 tahun yang menjadi sohor kini selepas video masakannya tular di aplikasi TikTok sehingga meraih jutaan tontonan sejak minggu lepas.
Menggunakan nama akaun @kakcikyah4, populariti diraih Kak Cik Yah atau nama sebenarnya Nariah Ahmad membuatkan semakin ramai meminati individu yang memiliki susuk tubuh kecil molek itu bahkan peminatnya bukan sahaja dalam kalangan rakyat Malaysia pelbagai peringkat umur dan bangsa, malahan dari negara jiran seperti Singapura dan Indonesia.
Apa yang lebih menarik, jumlah pengikutnya di TikTok telah meningkat dengan drastik, daripada ribuan kepada lebih 300,000 dalam masa yang singkat.
Sering memulakan ayat dengan ungkapan"Assalamualaikum, mola-mola (mula-mula) Kak Cik Yah”, kecekapan Nariah mengendalikan media sosial dan gaya komunikasinya yang bersahaja seperti seorang nenek mengajar cucu memasak telah menyentuh dan mencuit hati ramai netizen hingga ada yang menganggapnya sebagai ‘nenek online’ mereka.
Ketika ditemui Bernama di rumahnya di Flat Kampung Melayu di sini, Nariah berkata, usia bukanlah penghalang untuknya mengenali teknologi dan berkongsi bahawa semua video dan gambar di akaun TikToknya itu dimuat naik sendiri tanpa bantuan sesiapa.
"Lama-lama Kak Cik Yah fikir nak letak video memasak sebab memang suka masak. Lepas tu Kak Cik Yah pun sediakan bahan-bahan, ambil telefon bimbit rakam sendiri, kemudian masukkan ke TikTok dan tak sangka pula ramai yang suka dan bagi komen macam-macam,” katanya yang memberitahu video masakan pertamanya adalah resipi kerabu mangga yang dimuat naik pada tahun lepas.
Nariah yang sebelum ini berniaga karipap dan acar limau berkata, semua resipi yang dikongsi adalah ciptaannya sendiri selain resipi turun-temurun.
Dia yang mempunyai empat anak dan tujuh cucu berkata, ketika itu videonya belum lagi tular sehingga baru-baru ini dan tidak menyangka namanya tiba-tiba popular, namun menganggap ia sebagai rezeki Ramadan.
Sejak tular, Nariah semakin sibuk dan baru-baru ini mengikat kontrak dengan sebuah syarikat berasaskan kambing selama dua bulan, menyebabkan dia kini dibantu oleh seorang pembantu yang menguruskan jadual hariannya.
"Alhamdulillah, anak-anak semua bagi sokongan tapi mereka nasihat supaya Kak Cik Yah sentiasa jaga diri serta pastikan dapat rehat dan tidur yang mencukupi.
"Kehidupan Kak Cik Yah macam biasa saja cuma kalau hari biasa tu sibuk sikitlah, tak sempat nak berjalan-jalan macam selalu tapi Kak Cik Yah okay,” katanya sambil memberitahu sejak tular ramai yang mahu mengambil gambar dengannya termasuk kanak-kanak.
Pada usia lebih separuh abad Nariah bersyukur kerana dikurniakan kesihatan yang baik dan tidak mempunyai sebarang penyakit malah masih mampu bergerak sendirian untuk ke kedai selain menaiki komuter untuk pulang ke kampung halamannya di Mata Ayer, Perlis.
Tahap penglihatan, pendengaran serta daya ingatannya juga masih baik dan menurutnya, tiada sebarang petua yang diamalkan tetapi tip untuk kekal sihat adalah dengan sentiasa berfikiran positif, kekal tenang dan tidak terlalu memikirkan hal-hal yang boleh mengganggu emosi.
Selepas kematian suami pada 2020 akibat kencing manis dan sakit jantung, Nariah berkata, dia menjalani kehidupan seperti biasa berikutan anak-anak tinggal berasingan tetapi sentiasa memenuhkan harinya dengan pelbagai aktiviti selain gemar berjalan kaki sebagai satu daripada senaman yang menyihatkan.
Berkongsi tentang perancangannya, Nariah berhasrat untuk terus berkongsi resipi dengan pengikut kerana ia merupakan terapi buatnya dan pada masa sama berkeinginan untuk berkolaborasi bersama pencipta kandungan popular Khairul Aming.
"Kak Cik Yah suka tengok dia (Khairul Aming) masak, mahu la juga kalau dapat jumpa dan masak dengan dia,” katanya yang memiliki perwatakan ceria dan peramah. - Bernama