JOHOR BAHRU – [DIKEMAS KINI] Seorang kanak-kanak lelaki warga Singapura maut, manakala empat ahli keluarganya, termasuk seorang pembantu rumah warga Indonesia, cedera dalam kemalangan membabitkan sebuah lori dan kenderaan pelbagai guna (MPV) di Jalan Pantai, Permas Jaya, di sini, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, kejadian berlaku sekitar jam 10.34 malam apabila sebuah lori satu tan dipandu seorang lelaki berusia 57 tahun dari arah Masai ke pusat bandar hilang kawalan lalu terbabas ke laluan bertentangan sebelum merempuh kenderaan dinaiki keluarga mangsa.
"Akibat perlanggaran itu, seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun tercampak keluar dari kenderaan dan disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan kecemasan di sebuah hospital swasta sekitar jam tiga pagi.
"Pemandu kenderaan, seorang lelaki usia 44 tahun, serta beberapa penumpang lain menerima rawatan di Hospital Sultan Ismail (HSI), manakala mangsa yang mengalami kecederaan ringan telah dibenarkan pulang," katanya.
Polis menahan pemandu lori terbabit, dan hasil ujian air kencing mendapati dia positif dadah jenis methamphetamine.
Siasatan juga mendapati lelaki berkenaan tidak memiliki lesen memandu.
Kes disiasat mengikut Seksyen 44(1), Seksyen 26(1), Seksyen 56(1) dan Seksyen 15(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, selain turut disiasat di bawah Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Johor Jaya, Penguasa Bomba Kanan Mohd Yusri Atan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kemalangan berkenaan pada jam 10.11 malam.
"Setibanya di lokasi pada jam 10.23 malam, didapati kemalangan membabitkan sebuah lori satu tan dan sebuah MPV jenis Toyota Sienta.
"Tiada mangsa tersepit, namun sebelum ketibaan bomba, orang awam telah membawa seorang wanita dewasa dan seorang kanak-kanak ke hospital.
"Rawatan awal turut diberikan kepada mangsa lain sebelum mereka dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut. Operasi ditamatkan pada jam 11.02 malam," katanya.