Chong Wei duta sukan Johor, inspirasi atlet muda

Iklan
Chong Wei

PELANTIKAN legenda badminton negara, Datuk Lee Chong Wei sebagai Duta Sukan Johor bakal menjadi pemangkin kepada usaha menjadikan Johor sebagai kuasa baharu sukan di negara ini.

Exco Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Johor, Mohd Hairi Mad Shah berkata, kehadiran Chong Wei sebagai duta sukan akan memberi impak besar kepada pembangunan atlet muda negeri ini.

Iklan
Iklan

"Pelantikan ini bukan sahaja menyuntik semangat generasi muda untuk mencontohi kejayaan jaguh sukan terdahulu, tetapi juga mengukuhkan lagi perancangan Johor dalam melahirkan lebih ramai atlet bertaraf dunia.

"Chong Wei merupakan ikon sukan negara yang pernah mengharumkan nama Malaysia di peringkat antarabangsa. Kehadirannya mampu memberi inspirasi serta bimbingan kepada bakat-bakat muda di negeri ini,” katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Berbuka Puasa dan Penyampaian Sumbangan Aidilfitri ADUN Larkin di Masjid Kampung Melayu di sini pada Ahad.

Sebelum ini, Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail bertitah bahawa Chong Wei merupakan antara legenda sukan global yang disenaraikan untuk dilantik sebagai Duta Sukan Johor.

Iklan

Perkara itu dinyatakan ketika sesi soal jawab bersama peminat Johor Darul Ta’zim (JDT) di Cafeteria JDT pada 13 Mac lalu.

Selain bekas jaguh badminton dunia itu, beberapa atlet bertaraf antarabangsa turut dicadangkan untuk menggalas peranan yang sama, termasuk Sonny Bill Williams, Khabib Nurmagomedov dan Tim Cahill.

Mengulas lanjut Mohd Hairi memaklumkan, beliau bersama Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi merancang untuk mengadakan pertemuan dengan Chong Wei dalam masa terdekat bagi membincangkan peranan serta hala tuju pembangunan sukan badminton di negeri itu.

Menurutnya, lebih ramai atlet dunia dijangka dilantik sebagai duta sukan negeri dalam usaha memperkasakan pembangunan atlet muda di Johor.

"Insya-ALLAH, kita akan melihat lebih ramai lagi individu bertaraf dunia menjadi duta sukan Johor. Ini satu langkah yang baik bagi membangunkan generasi muda, memberi motivasi kepada mereka serta mendorong mereka mencontohi kejayaan atlet-atlet hebat.

"Kita turut menyenaraikan atlet dari pelbagai sukan termasuk bola keranjang, kriket dan hoki. Kehadiran mereka ke Johor pastinya menarik minat serta memberi dorongan kepada pemain muda untuk lebih maju dalam bidang sukan,” katanya.