Hujan lebat, keadaan padang jejaskan aksi Selangor

Iklan
Aksi merebut bola di antara pemain pasukan Kuching City FC dan Selangor FC pada saingan Liga Super di Stadium Negeri pada Ahad. Foto Bernama Aksi merebut bola di antara pemain pasukan Kuching City FC dan Selangor FC pada saingan Liga Super di Stadium Negeri pada Ahad. Foto Bernama
Aksi merebut bola di antara pemain pasukan Kuching City FC dan Selangor FC pada saingan Liga Super di Stadium Negeri pada Ahad. Foto Bernama

HUJAN lebat serta keadaan padang yang tidak begitu baik menjadi antara faktor persembahan kurang memuaskan Selangor FC ketika tewas kepada Kuching City FC 1-2 dalam aksi Liga Super di Stadium Negeri, Kuching pada Ahad.

Pengendali Selangor, Katsuhito Kinoshi berkata, pasukannya menghadapi kesukaran untuk menyesuaikan diri dengan keadaan permainan yang mencabar itu.

Iklan
Iklan

"Pada separuh masa pertama, kami tidak berada pada tahap terbaik. Selepas set piece, beberapa kesilapan posisi menyebabkan kami dihukum.

"Pada separuh masa kedua, kami menukar dua pemain dan membentuk bahagian tengah yang lebih padat, dan kami berjaya menyamakan kedudukan. Tetapi, kami memang tidak begitu baik dalam keadaan cuaca serta padang seperti ini," katanya dalam sidang media selepas perlawanan.

Iklan

Dalam perlawanan itu, tuan rumah berada di depan menerusi Ramadhan Saifullah pada minit ke-26 sebelum Mukhairi Ajmal menyamakan kedudukan buat Selangor FC pada minit ke-50.

Hasrat skuad Gergasi Merah untuk membawa pulang sekurang-kurangnya satu mata tidak kesampaian selepas Jimmy Ramond meledak gol kemenangan Kuching City yang sekali gus meleburkan rekod 14 perlawanan tanpa kalah Selangor.

Iklan

Dalam pada itu, Kinoshi turut memohon maaf kepada para penyokong Selangor atas kekalahan tersebut dan mengakui perlu untuk memperbaiki setiap kelemahan yang ada.

"Pertama sekali, saya ingin memohon maaf kepada para penyokong yang datang dari jauh, khususnya dari Selangor. Walaupun hujan lebat, mereka tetap memberikan sokongan 100 peratus kepada kami.

"Kami harus meminta maaf kerana gagal memberikan mereka tiga mata. Jadi, kami mesti mengakui perkara itu. Beberapa kesilapan kecil menyebabkan kami dihukum," katanya.