Wakaf Majlis Amanah Rakyat (MARA) MADANI merupakan satu langkah penting dalam memastikan bumiputera berperanan dalam membangunkan ekonomi sendiri melalui konsep wakaf yang mampan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, inisiatif berkenaan menunjukkan golongan bumiputera kini berada pada tahap di mana mereka bukan sahaja menerima peluang dan peruntukan tetapi turut menyumbang ke arah memperkasakan ekonomi sendiri.
"Masa kita hanya menerima telah berlalu. Kini, kita mesti menjadi bangsa yang bermaruah, mampu menentukan masa depan sendiri dengan memberikan sumbangan sekecil mana pun sebagai saham dalam perjuangan memartabatkan masyarakat Bumiputera,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya ketika melancarkan Wakaf MARA MADANI sempena Hari MARA ke-59 di Pusat Dagangan Dunia, Kuala Lumpur, pada Sabtu.
Majlis itu turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.


Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, institusi wakaf telah terbukti berkesan dalam membangunkan pendidikan dan ekonomi umat Islam di seluruh dunia.
"Universiti terulung seperti Al-Azhar dibina hasil dana wakaf, begitu juga beberapa institusi pendidikan di Indonesia. Mereka berjaya mendirikan sekolah hanya melalui dana wakaf,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menyeru agar semua pihak mengambil peluang menyumbang kepada Wakaf MARA MADANI sebagai langkah bersama dalam membangunkan masyarakat bumiputera.
"Wakaf ini adalah saluran bagi semua orang biarpun hanya menyumbang serendah RM10. Jangan hanya berbangga dengan sejarah dan slogan tetapi bertindak,” katanya.
Anwar turut menegaskan bahawa kerajaan akan memastikan setiap dana wakaf diurus dengan cekap dan telus demi manfaat kepada golongan yang benar-benar memerlukan.
"Ini bukan alasan untuk mengurangkan peruntukan kerajaan. Kita tidak akan mengurangkan dana untuk bumiputera tetapi saya mahu penyertaan menyeluruh daripada semua pihak agar tanggungjawab ini dikongsi bersama.
"Wakaf MARA MADANI bukan sekadar inisiatif biasa tetapi simbol keupayaan masyarakat bumiputera untuk bersatu dan membina masa depan ekonomi yang lebih kukuh,” jelasnya.
Sasar RM100 juta menjelang akhir tahun 2025
Sementara itu, Pemangku Ketua Pengarah MARA, Datuk Zulfi kri Osman berkata, MARA berjaya meraih kutipan wakaf tunai berjumlah RM51.4 juta menerusi inisiatif Wakaf MARA MADANI yang dilancarkan bagi memperkasa sektor pendidikan dan keusahawanan bumiputera.
Zulfikri berkata, kutipan itu berjaya diraih menerusi para penyumbang terdiri daripada individu dan syarikat korporat yang pernah menerima manfaat daripada MARA.
"Kumpulan ini merupakan penyumbang utama inisiatif dalam memastikan dana berkenaan dapat disalurkan kembali kepada usahawan kecil serta bumiputera yang ingin melanjutkan pelajaran. Setakat ini, sambutan amat memberangsangkan.
"Kejayaan tersebut turut didorong oleh kesedaran masyarakat yang sebelum ini berhasrat untuk memberi sumbangan kembali kepada MARA tetapi tidak mempunyai saluran yang sesuai,” katanya.
Wakaf MARA MADANI merupakan agenda pemerkasaan sosioekonomi bumiputera hasil daripada resolusi Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB 2024).
Pada Januari 2025, MARA secara rasmi telah ditauliahkan sebagai Mutawalli atau pentadbir harta Wakaf MARA MADANI oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) untuk tempoh lima tahun bermula dari tarikh pemeteraian perjanjian.
Sementara itu, Zulfi kri berkata, MARA optimis menyasarkan kutipan RM100 juta menjelang akhir tahun ini dan RM1 bilion dalam tempoh lima tahun.
"Secara realistik, sasaran RM1 bilion sukar dicapai dalam masa singkat jika hanya bergantung kepada individu. Bagaimanapun, ia tidak mustahil dan saya yakin kita dapat mengumpul dana sebanyak itu dalam tempoh lima tahun akan datang.
"Dengan penglibatan syarikat besar dan konglomerat, saya optimis sasaran RM100 juta untuk tahun ini dapat dicapai,” ujarnya.
Sebagai mutawalli yang dilantik, Zulfi kri berkata, MARA akan memastikan tata kelola dan pengurusan dana wakaf berjalan dengan cekap serta telus.
"Dana ini akan diuruskan dengan kerjasama Pelaburan MARA Berhad yang merupakan syarikat pengurus dana MARA sendiri.
Prinsip utama dalam pengurusan dana wakaf ialah hanya hasil pelaburan digunakan, manakala jumlah pokok harus kekal.
"Sebuah jawatankuasa khas juga telah ditubuhkan bagi memantau dan memastikan pengurusan dana dan agihan manfaat wakaf dibuat mengikut perancangan yang ditetapkan berlandaskan hukum syara’,” katanya.
Langkah berterusan
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kolej Poly-Tech MARA (KPTM), Radzuan Razali berkata, sumbangan RM1 juta kepada Wakaf MARA MADANI merupakan komitmen tanggungjawab sosial syarikat dalam memberi kembali kepada komuniti.
"Sumbangan ini selaras dengan komposisi pelajar KPTM yang mana 85 peratus terdiri daripada golongan B40. KPTM melihat inisiatif tersebut sebagai satu langkah berterusan dan berharap dapat terus menyumbang pada tahuntahun akan datang.
"Dengan pengurusan syarikat yang lebih baik, ia dapat menjadi salah satu fungsi utama KPTM sebagai institusi pendidikan yang bukan sahaja mencapai keuntungan tetapi juga menyumbang kembali kepada negara serta masyarakat,” katanya.
Turut serta dalam memberi sumbangan sebanyak RM100,000 kepada Wakaf MARA MADANI merupakan Pengarah Urusan Gading Kencana, Datuk Ir Guntor Tobeng yang menganggap inisiatif itu diwujudkan tepat pada masanya serta memberi peluang kepada syarikat untuk menyumbang secara tersusun.
"Syarikat industri tidak mempunyai masa untuk memastikan pengagihan sumbangan dilakukan secara teratur. Dengan adanya wakaf ini, saya yakin ia menjadi platform terbaik untuk menyumbang kembali kepada masyarakat Melayu yang telah membantu kami berjaya hingga ke tahap ini.
"Jika kita memberi zakat, ia hanya tertumpu kepada asnaf tertentu tetapi melalui wakaf ini, bantuan dapat disalurkan kepada lebih ramai golongan memerlukan. Ini cara terbaik untuk memastikan sumbangan terus memberi impak jangka panjang kepada masyarakat,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Perniagaan Mazlan dan Hashimah (K) Sdn Bhd, Mohd Izwan Mazlan berkata, Wakaf MARA MADANI adalah satu peluang terbaik bagi usahawan untuk menyumbang kembali kepada masyarakat terutama selepas menerima banyak manfaat daripada MARA.
"Sejujurnya, jumlah RM100,000 yang disumbangkan ini terlalu sedikit jika dibandingkan dengan segala bantuan yang telah MARA berikan kepada kami selama ini. Ketika memulakan perniagaan, tidak semua orang yakin untuk membantu namun MARA hadir menghulurkan bantuan sehingga perniagaan kami berjaya.
"Ini adalah cara terbaik untuk menyumbang kembali. Saya sarankan semua usahawan berwakaf kerana ia bukan sekadar amal jariah tetapi juga satu cara untuk mensucikan harta serta memperoleh pahala yang berterusan,” katanya.