SUNGAI BULOH - Perjalanan seorang lelaki ke bazar Ramadan berakhir tragedi apabila maut setelah motosikal dinaiki hilang kawalan akibat jalan licin di Jalan Persiaran Shorea, Saujana Utama di sini, pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintenden Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, pihaknya menerima makluman jam 6.30 petang berhubung kejadian kemalangan itu melibatkan sebuah motosikal dan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV).
Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati mangsa menunggang motosikal berseorangan dari rumah di Alam Perdana menghala ke bazar Ramadan Saujana Utama.
"Tiba di tempat kejadian, motosikal yang dinaiki mangsa hilang kawalan akibat jalan licin, berpunca daripada hujan lebat sebelum itu.
"Mangsa yang berusia 23 tahun dan bekerja sebagai operator kilang telah terjatuh terus menggelongsor hingga ke laluan bertentangan, seterusnya mengenai bahagian depan kiri MPV yang kebetulan melalui tempat kejadian dari arah Saujana Utama.
"Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Kata beliau, jenazah mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Sungai Buloh untuk tindakan lanjut.
Tambahnya lagi, kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
"Orang ramai yang melihat dan mempunyai maklumat berhubung kejadian ini diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Che Hassan Ambok di talian 013-394 0423 atau bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh di talian 03-61561222," ujarnya.