SHAH ALAM - Usaha kerajaan untuk melaksanakan had tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun seperti dicadangkan DAP diyakini tidak berdepan dengan kesukaran untuk mendapat sokongan dua pertiga majoriti ahli Parlimen.
Pengerusi, Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih), Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata, keyakinan diletakkan tersebut berdasarkan kejayaan kerajaan meminda Perlembagaan bagi melaksanakan agenda menggubal semula Akta Perkhidmatan Parlimen 2025.
"Sesi Parlimen akan datang adalah masa terbaik untuk Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Pindaan Perlembagaan untuk mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri untuk 10 tahun.
"Pindaan boleh dibuat kepada Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan dengan memasukkan peraturan tersebut,” katanya menerusi X pada Ahad.
Sebelum ini, kerajaan akan membawakan usul untuk mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun ke Sidang Dewan Rakyat sekiranya mendapat sokongan dua pertiga daripada ahli Parlimen.
Kata Anwar, cadangan itu perlu melibatkan pindaan dalam Perlembagaan Persekutuan dan ia merupakan komitmen Pakatan Harapan (PH) sebagaimana manifesto mereka pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Dalam pada itu, Faisal berkata, pihaknya juga yakin agenda tersebut akan disokong oleh ahli Parlimen pembangkang demi masa depan negara yang lebih baik.
Tambah beliau, sekiranya pindaan tersebut dapat diluluskan, ia akan menjadi contoh yang harus diteladani oleh kerajaan negeri untuk mengehadkan tempoh Menteri Besar; Ketua Menteri dan Premier dengan meminda Perlembagaan Negeri masing-masing.