KLANG - Seramai enam individu dirakam keterangan bagi membantu siasatan berkaitan kes sekumpulan penjenayah bertopeng bersenjatakan parang menyamun wang berjumlah RM46,000 di hub pengumpulan dan pengoperasian syarikat penghantaran di Meru, di sini, pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S Vijaya Rao berkata, semua individu dirakam keterangan melibatkan kakitangan syarikat berkenaan.
"Setakat ini, kita masih berusaha mengesan suspek," katanya ringkas ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.
Pada Sabtu, Sinar Harian melaporkan, dalam kejadian jam 12.36 tengah hari, semua suspek menaiki sebuah kereta Perodua Bezza menggunakan nombor plat palsu.
Vijaya berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang wanita tempatan berusia 21 tahun mengenai kes samun wang tunai itu jam 1.19 petang.
Jelas beliau, kejadian berlaku ketika pengadu dan pekerja lain sedang melakukan proses mengira wang di premis tersebut.
Siasatan mendapati tiga suspek berparang dan bertopeng muka bertindak melarikan wang tunai RM46,000 milik syarikat kurier berkenaan.
Menurut Vijaya, tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan dalam kejadian berkenaan.
Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Fazlan Rezza di talian 011-10561017 atau ke balai polis berdekatan.