KUANTAN – Enam individu cedera, manakala seorang terselamat dalam kemalangan membabitkan bas Rapid Kuantan dan sebuah lori di Simpang Pancing, Sungai Lembing, sekitar jam 11.50 pagi, Isnin.
Dalam kenyataan Rapid Bus Sdn. Bhd. (Rapid Bus) memaklumkan bahawa kejadian itu melibatkan lima penumpang di dalam bas ketika insiden berlaku.
Empat penumpang, termasuk pemandu bas serta pemandu lori, mengalami kecederaan dan telah dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk rawatan lanjut.
"Rapid Bus amat kesal atas insiden ini dan mengutamakan kebajikan semua yang terlibat.
"Kami akan berhubung dengan mangsa serta keluarga mereka untuk memberikan sokongan yang diperlukan," menurut kenyataan itu pada Isnin.
Selain itu, Rapid Bus memberi jaminan akan bekerjasama sepenuhnya dengan pihak berkuasa bagi membantu siasatan dan mengenal pasti punca kejadian.
"Langkah penambahbaikan juga akan diambil bagi memastikan keselamatan operasi kami terus terjaga," tambah kenyataan tersebut.
Sementara itu, beberapa rakaman video dan gambar kemalangan yang tular di media sosial menunjukkan anggota penyelamat, termasuk pasukan berbaju celoreng biru, sedang membantu mangsa di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu, ketika dihubungi, mengesahkan kejadian tersebut.