KOMPOSER lagu Anta Permana, Hael Husaini mengakui terkejut sebaik dimaklumkan karya ciptaannya bersama Ezra Kong menjadi pilihan Raja Britain, Raja Charles III.
Walaupun percaya dengan berita gembira itu, pemilik nama sebenar Hael Husaini Razmi, 37, tetap mengambil inisiatif membuka seleksi lagu pilihan Raja Charles III bagi melihat sendiri judul Anta Permana dalam senarai tersebut.
Malah, Hael tidak menolak bahawa Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza, selaku penyanyi Anta Permana, menjadi faktor utama karya tersebut mendapat tempat di hati Raja Charles III.
"Saya terkejut apabila mendapat tahu berita ini selepas Datuk Seri Siti Nurhaliza menandai (tag) saya di Instagram. Tidak sangka impaknya sebesar ini.
"Saya percaya, tetapi untuk mendapatkan kepastian, saya terus membuka Apple Music bagi melihat sendiri senarai lagu. Apabila nama Siti disebut, Ya ALLAH, betapa bangganya saya sebagai rakyat Malaysia.
"Sebenarnya, bintang antarabangsa yang berdiri sebaris dalam senarai itu ialah Siti. Kami di belakang hanyalah pendukung. Tanpa Siti, lagu ini mungkin tidak sampai ke tahap ini," katanya.
Dalam pada itu, Hael percaya Raja Charles III jatuh cinta dengan lagu tersebut selepas memahami maknanya, sama seperti dirinya yang turut gemar mendengar lagu dalam pelbagai bahasa.
"Saya sendiri sering mendengar lagu-lagu dari pelbagai bahasa. Konsepnya sama sahaja. Apabila seseorang dari luar mendengar sesuatu karya yang menarik perhatian mereka, pasti mereka akan mencari maksud di sebalik liriknya.
"Mungkin Raja Charles III tertarik dengan lirik Anta Permana yang membawa maksud cinta tanpa penghujung," katanya ketika ditemui pada Tayangan Perdana Program Raya Astro 2025, baru-baru ini.
Tambah Hael, populariti lagu Anta Permana boleh menjadi titik tolak bagi lagu-lagu Malaysia untuk lebih dikenali di peringkat antarabangsa.
"Ini boleh menjadi permulaan bagi memastikan lagu Malaysia tidak lagi dipandang remeh. Kita sebenarnya berpeluang untuk memperluaskan karya kita ke peringkat dunia.
"Alhamdulillah, Siti berkongsi rezeki dengan saya dan Ezra Kong selaku komposer bersama lagu ini. Terima kasih," ujarnya.
Sebelum ini, Apple Music melancarkan program The King’s Music Room, yang menghimpunkan karya dari negara-negara Komanwel bagi meraikan kepelbagaian muzik dunia.
Nama Siti Nurhaliza turut disenaraikan bersama penyanyi antarabangsa terkenal seperti Bob Marley, Diana Ross, Beyoncé dan Michael Bublé.
Rakaman The King’s Music Room berlangsung di Istana Buckingham, memaparkan perjalanan muzik yang membentuk pengalaman serta memori peribadi Raja Charles III.