KOTA BHARU – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan telah merampas hampir lima tan barang kawalan bernilai RM53,000 selepas menyerbu sebuah premis di Jalan Lebuh Raya Pasir Mas-Rantau Panjang pada Ahad.
Pengarah KPDN Kelantan, Azman Ismail berkata, premis tersebut dipercayai menyimpan 816 kilogram gula, 1,110 kilogram tepung gandum, dan 445 kilogram minyak masak tanpa kebenaran sah.
"Seorang lelaki yang mengaku sebagai pemilik premis turut diperiksa, namun gagal mengemukakan dokumen sah berkaitan pemilikan barang kawalan tersebut," katanya.
Azman berkata, dalam serbuan yang sama, KPDN menahan sebuah lori jenis Fuso selepas mendapati beberapa individu sedang memunggah 1,704 kilogram gula ke dalam premis tidak berdaftar itu.


Katanya, lori bersama muatan gula tersebut telah disita kerana disyaki melanggar Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.
KPDN menegaskan bahawa pihaknya akan terus mempergiatkan operasi bagi memastikan bekalan barang kawalan tidak disalahgunakan dan sampai kepada pengguna yang berhak.