'Kabel saya hanya doa kepada ALLAH' - Afdlin Shauki

Iklan
Afdlin Shauki

PELAKON dan pengarah terkenal, Datuk Afdlin Shauki Aksan tidak menolak dakwaan salah laku perolehan projek bernilai RM4 juta di bawah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang hangat diperkatakan Januari lalu bermotifkan permainan kotor politik.

Figura berusia 53 tahun itu percaya isu tersebut sengaja dimainkan memandangkan pemilihan parti semakin hampir.

Iklan
Iklan

"Bagi saya, dakwaan ini bermotifkan politik. Dunia politik memang sangat kotor. Sebagai orang yang berada dalam politik, kita kena pastikan kelompok kita kecil. Bila besar sangat, akan ada yang tidak puas hati.

"Mungkin juga dakwaan ini timbul kerana ada yang iri hati atau tidak puas hati,” ujarnya.

Iklan

Ditanya dakwaan liar segelintir pihak yang melihat beliau bebas kerana kabel kuat dalam kerajaan, pengarah Harimau Malaya: The Untold Story itu pantas ketawa kecil.

Ujar Afdlin, sejak awal lagi, kabel yang dimiliki hanyalah berdoa kepada ALLAH SWT.

Iklan

"Saya ucapkan terima kasih kerana mereka fikir saya ada kabel yang kuat. Tetapi kalau kabel saya kuat, cerita ini tak akan keluar.

"Kabel saya hanya doa kepada ALLAH SWT. Itu sahaja yang saya ada. Saya solat, saya minta pada ALLAH supaya membantu orang yang teraniaya.

"Kalau nak sesuatu itu jadi jelas, minta pada ALLAH. Kabel saya dengan ALLAH, itu paling kuat," ujarnya.

Afdlin berkata demikian ketika ditemui pada sidang media program raya Astro 2025 di sebuah hotel di Damansara baru-baru ini.

Walaupun yakin dengan perlindungan daripada-NYA, Afdlin mengakui tidak dapat lari daripada rasa terkejut dan kecewa dengan apa yang berlaku.

Katanya, apa yang paling dikesali apabila tidak dapat memberi penjelasan apa yang berlaku bagi mengelakkan lebih banyak salah faham yang timbul.

"Bila isu mula-mula timbul, saya ambil pendekatan untuk berdiam diri kerana tidak mahu mengeruhkan lagi keadaan. Saya mahu beri laluan kepada badan penyiasatan untuk lakukan kerja mereka.

"Orang tuduh memang senang tetapi bila kita nak lawan semula, orang luar akan pandang enteng. Jadi saya diam dulu, dapatkan nasihat orang dalam parti dan mereka juga nasihatkan saya untuk berdiam diri," jelasnya.

Dalam masa sama, Afdlin berkata, beliau juga mengambil pendekatan untuk 'menyiasat' sendiri dengan pihak DBKL untuk memastikan sama ada betul dakwaan seperti didakwa.

"Mereka beritahu saya, ada siasatan kerana ada laporan, tetapi bagi pihak DBKL sendiri kata saya tidak salah kerana sudah mengikut tatakelola dan tugas saya memang mencari dana untuk yayasan.

"Saya juga sudah bersedia untuk memberi kenyataan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tetapi tahu-tahu selepas solat di Masjid Negara, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki sudah umumkan bahawa saya tiada kaitan dengan kes ini," ujarnya lagi.

Sementara itu, dalam menghadapi kontroversi ini, Afdlin mengakui ada segelintir rakan industri yang cuba menjauhkan diri daripadanya.

Namun beliau menganggap semua itu sebagai ruang buatnya mengenali rakan sejati.

"Memang ada yang tiba-tiba hilang, mungkin takut dikaitkan dengan saya atau masih ragu-ragu. Tapi ramai juga yang menghubungi dan menyatakan kepercayaan mereka kepada saya. Saya tahu siapa kawan, siapa bukan,” katanya.