BAYAN BARU - Pengguna di Pulau Pinang dinasihatkan supaya merancang pembelian dengan bijak dan mengelakkan pembelian panik bagi memastikan keseimbangan bekalan di pasaran menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri ini.
Exco Agroteknologi, Keterjaminan Makanan dan Pembangunan Koperasi, Fahmi Zainol berkata, bekalan makanan asas dijamin mencukupi menjelang perayaan yang akan disambut dalam tempoh dua minggu lagi.
Menurutnya, bekalan barangan keperluan seperti beras, ayam, daging, telur, santan, kelapa dan gula mencukupi bagi menampung permintaan yang meningkat.
"Pihak berkuasa termasuk kerajaan negeri telah mengambil langkah proaktif dalam memastikan bekalan barangan keperluan seperti beras, ayam, daging, telur, kelapa, santan dan gula mencukupi bagi menampung permintaan yang meningkat.
"Bagaimanapun, saya menasihatkan pengguna agar merancang pembelian agar tidak membeli pada saat akhir yang akan menyebabkan pembelian panik. Jangan risau, insya-ALLAH bekalan makanan mencukupi untuk umat Islam menyambut Aidilfitri nanti," katanya ketika ditemui di sini pada Isnin.
Beliau berkata, setakat ini, pihaknya belum menerima sebarang aduan berhubung kekurangan bekalan makanan berkenaan daripada mana-mana pihak termasuk pengguna.
"Mungkin jika ada pun, minyak masak peket yang memang daripada dulu ada masalah (bekalan). Yang lain, tiada masalah. Mencukupi dan tidak lah terlalu banyak dan tidak terlalu kurang.
"Daripada segi kawalan harga, pun tiada masalah. Jualan Rahmah masih diteruskan di setiap kawasan DUN dan sambutan amat menggalakkan sebab harga murah," tambahnya.
Dalam pada itu, menurut Fahmi, bekalan beras tempatan di setiap daerah juga mencukupi dan tiada rungutan daripada pengguna atau peniaga.
"Bekalan stabil, tiada rungutan atau aduan berhubung bekalan beras tempatan tidak cukup seperti sebelum ini.
"Kita mendapati stok beras mencukupi di setiap daerah, tiada pembelian secara besar-besaran. Mungkin stok beras masih banyak di rumah (pengguna)," katanya.