PENYANYI sensasi, Mimi Fly, tampil memohon maaf atas penampilannya yang kurang sopan di dalam muzik video (MV) lagu raya terbarunya, Serumpun.
Menurut Mimi atau nama sebenarnya, Shamimi Amalina Norhisham, 39, dia menerima dengan hati terbuka segala komen diberikan terhadap MV tersebut termasuk kritikan mengenai penampilannya yang berkemban.
"Saya terima segala pandangan, baik mahupun buruk. Jika ada yang tersinggung, saya mohon maaf kerana itu bukan niat asal.
"Ketika ini, tumpuan lebih diberikan kepada karya sendiri dan mungkin sebab itu saya terlepas pandang pada aspek lain," katanya menerusi sebuah video dari Youtube pada Isnin.
Pada Sabtu, MV Serumpun telah dilancarkan di YouTube namun ia telah mendapat reaksi pelbagai pihak yang kurang senang dengan penampilan seksi Mimi tersebut.
Malah, pengguna media sosial juga menyuarakan pandangan bahawa lagu bertemakan sambutan Aidilfitri sepatutnya melambangkan pakaian yang sopan dan tidak terdedah.
Mimi sebelum ini merupakan bekas anggota kumpulan One Nation Emcees dan sudah 17 tahun bertapak dalam industri seni.
Beliau yang sudah sedekad bergerak secara solo itu turut menjelaskan bahawa selepas sekian lama menyepi dalam industri, dia kembali dengan pendekatan lebih mendalam terhadap identiti dan asal usulnya.
"Saya kembali mengkaji darah dan keturunan asal. Saya ada campuran serumpun iaitu Melayu, Siam, Vietnam, jadi bila mahu mengangkat Mimi Fly, saya lebih fokus kepada karya.
"Kali ini, kita bekerjasama dengan pereka fesyen hebat dan kami sama-sama mengkaji busana orang lama. Saya seronok dan mahu meraikan pakaian tradisional kita, bukan niat untuk mencetuskan sensasi,” katanya.
Mimi bagaimanapun tidak menolak untuk melakukan penambahbaikan dalam karya akan datang.
"Ini lagu raya, jadi saya mohon maaf kalau ada yang tersinggung. Insya-ALLAH, saya akan cuba perbaiki jika ada kesempatan untuk lagu Raya akan datang,” ujarnya.
Mimi juga meluahkan rasa syukur kerana lagunya mendapat perhatian sama ada dalam bentuk sokongan atau kritikan.
"Apabila ada yang mengambil kisah dan melihat hasil kerja, itu satu perkara yang saya syukuri. Justeru, saya terima semua komen dan akan terus belajar serta berkembang dalam industri ini," katanya.