JITRA – Seorang pemilik kedai perkakasan rumah dan barangan plastik mengalami kerugian lebih RM500,000 apabila premis perniagaannya musnah dalam satu kejadian kebakaran di Pekan Jitra, di sini, pada malam Ahad.
Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam itu, kedai tersebut terbakar bersama tiga lagi kedai bersebelahannya.
Pemilik kedai perkakasan rumah dan barangan plastik, Lee Liong Lam, 57, yang masih terkejut berkata, tiada apa yang dapat diselamatkan daripada premis perniagaannya itu.
"Sudah 18 tahun saya berniaga, tetapi semuanya musnah dalam sekelip mata. Kerugian yang saya alami akibat kebakaran ini melebihi RM500,000,” luahnya ketika ditemui di lokasi kejadian pada Isnin.
Ketika kejadian, dia bersama isteri, Lee Ai Choo, 50, dan anak mereka berada di Pekan Jitra 2, tidak jauh dari lokasi.
Menurutnya, premisnya ditutup pada jam 7 malam, dan hanya dua jam selepas itu, dia menerima panggilan memaklumkan kedainya terbakar.
"Lebih menyedihkan, kebanyakan stok baru tiba beberapa hari lalu untuk jualan sempena Aidilfitri, namun semuanya musnah," ujarnya.
Ai Choo pula berkata, mereka keluar makan sekitar jam 8 malam dan tidak menyangka hanya sejam kemudian premis mereka akan terbakar.
"Kami memang terkejut. Sedih sangat melihat api marak membakar kedai yang kami usahakan hampir dua dekad,” katanya.
Sementara itu, seorang pelanggan tetap, P Subramaniam, 62, mengakui terkejut melihat kedai yang menjadi pilihan ramai sejak lebih 10 tahun lalu hangus terbakar.
"Kedai ini banyak menjual barangan plastik dan sangat mudah untuk parkir. Memang menjadi tumpuan, terutama apabila menjelang raya,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan bahawa empat premis perniagaan berhampiran sebuah restoran makanan segera di Jalan Changlun, Jitra, terbakar pada malam Ahad.
Ketua Cawangan Pengurusan Operasi dan Balai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba II Abd Fataf Amdan, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 9.13 malam sebelum tiba di lokasi tiga minit kemudian.