SHAH ALAM - Seorang pesara swasta mengalami kerugian RM2 juta selepas diperdaya oleh sindiket pelaburan saham kripto melalui aplikasi TikTok.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, berkata Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Selangor telah menerima laporan polis mengenai kes tersebut yang dibuat di Petaling Jaya.
Menurut beliau, wanita berusia 61 tahun itu tertarik untuk menyertai pelaburan tersebut selepas melihat iklan yang disiarkan di TikTok pada hujung November tahun lalu.
"Mangsa kemudian dimasukkan ke dalam kumpulan WhatsApp yang dikendalikan oleh individu dikenali sebagai Richard Ong,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Hussein berkata, mangsa telah diminta untuk membuat bayaran ke dalam 15 akaun bank berbeza melalui 30 transaksi yang berjumlah RM2 juta.
"Mangsa menyedari dirinya ditipu apabila diminta untuk membuat bayaran tambahan bagi mengeluarkan keuntungan,” tambahnya.
Beliau berkata, mangsa kemudiannya tampil membuat laporan polis, dan pihak polis telah membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Hussein turut mengingatkan orang ramai agar berhati-hati terhadap mana-mana tawaran pelaburan di media sosial yang menawarkan pulangan yang tidak munasabah.
"Sebarang panggilan yang mencurigakan boleh menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997 untuk semakan, nasihat, atau aduan,” katanya.