Individu tak puasa bertempiaran lari, JAINJ serbu premis makanan

Iklan
Pelanggan dipercayai warga asing beragama Islam menjamu selera di siang hari pada bulan Ramadan.

JOHOR BAHRU - Beberapa individu yang dipercayai sedang makan tengah hari di sebuah premis makanan berhampiran kawasan Pasar Borong Pandan di sini, bertempiaran lari melalui pintu belakang sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa dari Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ).

Bagaimanapun, kira-kira 20 individu lain yang dipercayai warga asing dilihat terus menikmati hidangan mereka tanpa menghiraukan serbuan tersebut.

Iklan
Iklan

Exco Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd Fared Mohd Khalid, yang turut serta dalam operasi itu berkata, premis berkenaan dimiliki oleh seorang warga tempatan dan ia adalah lokasi ketiga yang diserbu pihak berkuasa pada Isnin.

Mohd Fared memeriksa barangan yang dijual di premis berkenaan.

Katanya, serbuan dilakukan susulan aduan awam berhubung wujudnya aktiviti makan secara terbuka di bulan Ramadan, terutama pada waktu siang.

Iklan

"Daripada dua serbuan awal, tiada tangkapan dilakukan. Namun dalam serbuan terakhir ini, kami mendapati ramai warga asing beragama Islam sedang makan secara terbuka,” kata Mohd Fared.

Beliau menjelaskan, terdapat individu yang sedang menyuap makanan dan menghirup minuman secara terbuka, yang disifatkan sebagai perbuatan tidak menghormati kesucian bulan Ramadan.

Iklan

"Meskipun mereka bukan warga tempatan, selagi mana mereka beragama Islam, Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah tetap terpakai. Mereka boleh dikenakan tindakan,” tegasnya.

Pihak berkuasa menjalankan pemeriksaan terhadap pelanggan di sebuah premis makanan di Johor Bahru.

Beliau berkata, individu yang ditahan boleh dikenakan kompaun RM1,000 atau hukuman penjara tidak lebih enam bulan, atau kedua-duanya sekali.

Menurutnya, mereka juga akan diberikan notis untuk dipanggil ke bahagian penguatkuasaan sebelum tindakan selanjutnya diambil oleh Pendakwaan Syarie Negeri Johor.

Sementara itu, Mohd Fared memaklumkan bahawa JAINJ akan bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk melakukan semakan terhadap peniaga yang didapati menggalakkan orang Islam makan secara terbuka pada waktu siang di bulan Ramadan.

"Begitu juga dengan pemilik premis ini, kita akan panggil untuk disiasat, bagaimana perkara ini boleh dibenarkan.

"Operasi ini dijalankan berdasarkan aduan awam bagi memastikan pematuhan Seksyen 15 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 1997 yang menghalang penjualan dan pembelian makanan pada siang hari di bulan Ramadan,” jelasnya lagi.