Sukar bergerak akibat ketumbuhan membesar di perut

Iklan
Ketumbuhan di perut Nurul Faraziela semakin membesar menyebabkan dia sukar bergerak.

GURUN - Berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul.

Itulah perumpamaan boleh digambarkan mengenai derita ditanggung seorang bekas pekerja kilang, Nurul Faraziela Mohd Zaki, 23, setelah disahkan mempunyai ketumbuhan di bahagian perut.

Iklan
Iklan

Menurut Nurul Faraziela, dia mula menyedari masalah tersebut sejak Mei tahun lalu apabila sering berasa sakit di bahagian belakang dan perut.

"Setelah lalui beberapa pemeriksaan, baru tahu ada ketumbuhan, dan sejak itu perut membesar sedikit demi sedikit sehingga menyukarkan pergerakan," katanya.

Iklan
Nurul Faraziela kini tidak mampu keluar bekerja dan hanya terlantar akibat ketumbuhan di perut.

Jelas Nurul Faraziela, dia dijadualkan untuk menjalani pembedahan di Hospital Kuala Lumpur Februari lalu, namun terpaksa dibatalkan akibat risiko tinggi apabila ketumbuhannya semakin membesar.

Disebabkan itu, dia kini meneruskan rawatan kemoterapi di Hospital Pulau Pinang dengan harapan ketumbuhan itu semakin mengecil.

Iklan

Akibat penderitaan ditanggung, Nurul Faraziela tidak dapat keluar bekerja dan bergantung sepenuhnya kepada keluarga.

Melati sentiasa berdoa agar anaknya segera sembuh.

Ibunya, Melati Hussain, 52, berharap doanya dimakbulkan sempena keberkatan Ramadan ini agar anak ketiga daripada empat beradik itu segera sembuh.

"Saya tak sanggup tengok dia dalam keadaan begitu, saya nak dia kembali aktif, boleh bekerja, bawa kereta macam biasa.

"Tak sangka benda ini cepat sangat berlaku, sehingga sekarang perutnya membesar membuatkannya sukar untuk bergerak," katanya sebak.

Bapanya, Mohd Zaki Bakar, 53, pula terpaksa kerap memohon cuti bagi menguruskan Nurul Faraziela yang perlu berulang-alik ke hospital bagi mendapatkan rawatan.

"Kami ikhtiar apa sahaja yang boleh menyembuhkannya, selain berubat hospital, kami juga cuba menggunakan kaedah tradisional, dengan harapan anak sembuh segera, itu saja kami inginkan," katanya.

Selain perbelanjaan ulang-alik ke hospital, keluarga ini juga terpaksa menanggung kos tinggi untuk lampin pakai buang dan susu khas yang diperlukan oleh Nurul Faraziela.

Orang ramai yang ingin membantu boleh berbuat demikian melalui akaun RHB Bank bernombor 102122-600-18872 atas nama Mohd Zaki.