SHAH ALAM - Penubuhan kumpulan kerja komunikasi antara hospital swasta dan pengendali insurans merupakan salah satu daripada lapan cadangan Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM) dalam usahanya menangani inflasi kos perubatan secara aktif.
APHM menerusi kenyataan pada Isnin berkata, antara usul lain untuk membendung isu tersebut ialah pengembangan dan penyertaan penjagaan primer dalam rangkaian rawatan pesakit; penubuhan jawatankuasa bebas kajian kos penjagaan kesihatan, bayaran balik dan meningkatkan ketelusan dalam jumlah atau kos tuntutan kesihatan.
"Selain itu, APHM mencadangkan penubuhan jawatankuasa kerja bersama antara APHM dan Pengendali Insurans dan Takaful (ITO) untuk menyemak struktur bil dan memastikan harga yang adil; saringan perubatan pra-polisi bagi pemohon insurans; penubuhan jawatankuasa mediko-legal nasional serta kajian atau pelaksanaan cadangan bagi mengurangkan beban peraturan.
"Semua cadangan berkenaan menunjukkan APHM terus komited dalam menangani cabaran berterusan inflasi. Sebagai sebahagian daripada usaha ini, kami telah mengadakan pertemuan dengan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, wakil daripada Bank Negara Malaysia (BNM) dan ITO hari ini di Kementerian Kewangan, Putrajaya, bagi membentangkan cadangan tersebut.
"Selain membentangkan cadangan APHM, kami juga mengambil peluang dalam mesyuarat itu untuk menyatakan sokongan terhadap usul sektor insurans yang diterbitkan oleh Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM), Persatuan Takaful Malaysia (MTA) dan Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM) pada 7 Mac 2025,” katanya.
Sebelum ini, tiga persatuan utama insurans negara telah mengemukakan cadangan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) bagi meningkatkan kemampuan, ketelusan serta kemampanan dalam sektor penjagaan kesihatan dan insurans Malaysia.
Dalam kenyataan bersama pada Mac lalu, LIAM, MTA dan PIAM berkata, antara cadangan itu ialah memaparkan kos purata prosedur dan rawatan biasa di seluruh hospital swasta serta kadar inflasi kos perubatan tahunan bagi memastikan pengguna lebih celik dari segi kewangan.
Dalam pada itu, APHM memaklumkan bahawa walaupun secara keseluruhannya bersetuju dengan cadangan tersebut, terdapat beberapa aspek lain daripada ITO yang masih memerlukan pertimbangan lanjut bagi memastikan pelaksanaannya seimbang dan berkesan.
"APHM komited untuk terus menyumbang secara aktif terhadap cadangan ini dan bekerjasama rapat dengan ITO.
"Kami juga berharap agar syarikat insurans akan mengekalkan kemudahan bayaran balik secara tanpa tunai (cashless reimbursement) dan tidak menghapuskan pilihan ini kepada hospital swasta demi kepentingan pesakit serta akses berterusan kepada rawatan.
"Selain itu, APHM percaya bahawa kerjasama erat antara hospital dan ITO akan menghasilkan inisiatif yang lebih sejajar serta bermanfaat untuk semua pihak,” ujarnya.
Tambahnya, persatuan itu juga berbesar hati dengan kepimpinan Menteri Kewangan II dan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, yang mengetuai usaha kolaboratif industri seperti yang digariskan dalam cadangan berkenaan.
Jelasnya, melalui jawatankuasa bersama, usaha kolaboratif tersebut dijangka bermula dalam bulan yang akan datang.
"APHM kekal teguh dalam komitmen untuk membangunkan sistem penjagaan kesihatan yang mampan dan telus.
"Dengan kerjasama kerajaan dan semua pemegang taruh, APHM bertekad untuk mengenal pasti penyelesaian yang inovatif, berasaskan bukti serta berkesan dalam memperkukuh sistem penjagaan kesihatan di Malaysia,” kata APHM.