SHAH ALAM - Penyiasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap kes rasuah dan pengubahan wang haram yang dikaitkan dengan Perdana Menteri ke-9, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, didakwa mempunyai kepincangan serta melanggar etika profesional sebagai sebuah agensi penguat kuasa.
Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, terdapat banyak perkara yang dianggap tidak wajar dalam proses penyiasatan kes berkenaan.
Menurutnya, antara yang dipersoalkan adalah siasatan masih belum selesai, tetapi Ismail Sabri telah dianggap sebagai suspek sejak awal.
"Saya pernah dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong sebagai anggota Jawatankuasa Mengenai Rasuah (JKMR) untuk memantau perjalanan SPRM.
"Saya melihat banyak perkara yang aneh. Jika beliau seorang suspek, SPRM sepatutnya telah menangkap Ismail Sabri, tetapi sehingga kini beliau masih belum ditahan.
"Selain itu, individu yang dipanggil untuk siasatan biasanya digelar sebagai orang yang disyaki (OYDS), iaitu mereka yang disaman dan bukan ditangkap. Jika SPRM menyatakan bahawa Ismail Sabri ditangkap, barulah beliau boleh dianggap sebagai suspek.
"Apabila dituduh di mahkamah, barulah seseorang itu dipanggil sebagai orang kena tuduh (OKT)," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Pada 2 Mac lalu, SPRM dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa pihaknya telah menyita wang tunai kira-kira RM170 juta dalam pelbagai mata wang antarabangsa serta 16 kilogram jongkong emas bernilai hampir RM7 juta hasil pemeriksaan di beberapa lokasi berkaitan siasatan rasuah dan pengubahan wang haram yang membabitkan Ismail Sabri.
Operasi penggeledahan itu dilakukan di kediaman serta tiga premis lain yang dipercayai dijadikan sebagai 'safehouse', susulan penahanan empat pegawai kanan yang berkhidmat di bawah pentadbiran bekas Perdana Menteri berkenaan.
Susulan itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, memaklumkan bahawa pihaknya telah membuka kertas siasatan pada awal tahun lalu berhubung isu Keluarga Malaysia yang melibatkan dana pengiklanan dan promosi agenda kerajaan bernilai RM700 juta.
Hassan turut menyatakan bahawa beliau kurang jelas dengan beberapa tindakan yang dilakukan oleh SPRM dalam siasatan ini.
"Tindakan pertama adalah pendedahan bahan bukti, yang lazimnya hanya dilakukan ketika perbicaraan, namun dalam kes ini, siasatan masih belum selesai tetapi bahan bukti telah didedahkan dalam sidang media.
"Kedua, kertas siasatan belum dihantar ke Pejabat Pendakwa Raya, tetapi Ismail Sabri seolah-olah telah dibicarakan melalui media massa dan media sosial. Apakah tujuan kedua-dua tindakan ini?
"Adakah ini modus operandi baharu? Bukannya perbicaraan di mahkamah tetapi perbicaraan media oleh agensi kerajaan?" soalnya.
Dalam pada itu, Hassan menyatakan sokongan penuh terhadap Kerajaan Madani pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam usaha memerangi rasuah.
"Sebagai ahli Parlimen yang pernah menganggotai JKMR, saya yakin SPRM mampu melaksanakan tugasnya secara profesional.
"Saya berharap dalam usaha membanteras rasuah, SPRM sebagai sebuah agensi penguat kuasa perlu menjalankan siasatan secara telus dan tidak terbawa-bawa dalam aspek pendakwaan, yang merupakan bidang kuasa Pejabat Pendakwa Raya," ujarnya.