Cklamovski perjelas pemilihan Sumareh, Natxo

Iklan
Cklamovski (kiri) Cklamovski berkata demikian dalam sidang akhbar di sebuah hotel terkemuka di Johor Bahru pada Isnin.

PENGENDALI Harimau Malaya, Peter Cklamovski menegaskan bahawa pemilihan semula pemain naturalisasi pertama negara, Mohamadou Sumareh dan Natxo Insa ke dalam kem latihan menjelang aksi pertama Kumpulan F, Kelayakan Piala Asia 2027 bertujuan mewujudkan persaingan dalam pasukan.

Menurut jurulatih berusia 46 tahun itu, pemilihan mereka dibuat berdasarkan profil serta kemampuan menyumbang kepada pasukan.

Iklan
Iklan

"Saya rasa mereka boleh memberikan sesuatu yang berbeza kepada pasukan, dan ini adalah peluang untuk mereka membuktikannya.

"Saya akui ada beberapa pemain berkualiti yang tidak terpilih kali ini, tetapi saya berharap mereka terus berusaha untuk merebut tempat.

Iklan

"Saya mahu pemain mempunyai mentaliti yang kuat, datang ke pasukan ini, dan berjuang untuk tempat mereka. Persaingan dalam pasukan adalah sesuatu yang baik,” katanya.

Cklamovski berkata demikian dalam sidang akhbar di sebuah hotel terkemuka di Johor Bahru pada Isnin.

Iklan

Harimau Malaya bakal berdepan Nepal dalam aksi sulung Kumpulan F di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, pada 25 Mac ini.

Untuk rekod, pemilihan semula Sumareh dan Natxo Insa mencetuskan kebimbangan dalam kalangan peminat bola sepak tempatan, terutamanya mengenai kekurangan minit permainan mereka.

Sementara itu, dalam sidang media sama, Cklamovski turut mengulas mengenai status tiga pemain warisan yang dikhabarkan bakal menyertai Harimau Malaya.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa mereka bukan sekadar ‘pemain warisan’, tetapi rakyat Malaysia yang berpangkalan di luar negara.

"Mereka adalah rakyat Malaysia di luar negara. Jika seseorang mempunyai darah Malaysia dan mahu bermain untuk negara ini, mereka pasti akan berjuang serta berkomitmen.

"Jika mereka berada dalam prestasi terbaik, mereka berhak dipertimbangkan untuk dipilih,” katanya.