Kerajaan perkukuh pengurusan royalti muzik

Iklan
Armizan (empat dari kiri) bersama barisan artis tanah air yang hadir pada Majlis Advokasi Royalti Muzik pada Isnin

KUALA LUMPUR – Kerajaan melalui Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) sedang memperkukuh pengurusan royalti muzik bagi memastikan penggiat seni menerima hak mereka secara adil dan teratur.

Langkah ini susulan pelbagai aduan yang diterima daripada artis mengenai isu pembayaran royalti.

Iklan
Iklan

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali, berkata, MyIPO sedang memperkenalkan Garis Panduan (GP) Pengoperasian Organisasi Pengurusan Kolektif (CMO) bagi mengawal selia aspek tadbir urus CMO, termasuk penetapan kadar dan proses agihan royalti.

"Garis panduan ini diperkenalkan berdasarkan peruntukan baharu di bawah Akta Hak Cipta 1987 menerusi pindaan pada 2022 yang memasukkan Seksyen 27M.

Iklan

"Sebelum ini, MyIPO hanya diberikan kuasa untuk melesenkan CMO, namun dengan pindaan ini, MyIPO kini mempunyai kuasa penuh untuk mengawal, mengesahkan serta mengendalikan pengoperasian dan pengagihan royalti.

"Proses libat urus bersama pemegang taruh sedang dijalankan, dan garis panduan ini hanya akan dimuktamadkan selepas kajian menyeluruh dibuat bagi memastikan manfaatnya merangkumi semua pihak, termasuk artis, komposer dan penulis lirik,” katanya pada sidang akhbar Majlis Advokasi Royalti Muzik di sebuah hotel di sini, pada Isnin.

Iklan

Dalam masa sama, kerajaan turut memberi tumpuan kepada peningkatan kesedaran dalam kalangan penggiat seni untuk mendaftarkan hak cipta mereka.

Menurutnya, sepanjang Januari 2023 hingga Februari 2025, MyIPO telah menerima sebanyak 17,402 permohonan pendaftaran hak cipta.

"Namun, pendaftaran bagi kategori karya muzik dan rakaman bunyi masih rendah, masing-masing hanya 170 dan 146 pendaftaran.

"Statistik ini menunjukkan masih ramai penggiat seni, khususnya artis baharu, yang tidak menyedari kepentingan mendaftarkan hak cipta mereka. Oleh itu, program advokasi dan pendidikan mengenai perkara ini perlu dipertingkatkan,” ujarnya.

Sebagai langkah penambahbaikan, MyIPO telah memperkenalkan sistem pendaftaran dalam talian Copyright to You (CR2U) bagi memudahkan proses pendaftaran hak cipta.

"Melalui inisiatif ini, tempoh pendaftaran dipendekkan daripada enam bulan kepada hanya 30 minit selepas butiran permohonan lengkap dihantar. Sejak diperkenalkan pada penghujung 2023, pendaftaran hak cipta melalui CR2U mencatat peningkatan ketara kepada 9,363 pada 2024 berbanding 6,807 pada tahun sebelumnya,” katanya.

Armizan menegaskan bahawa KPDN melalui MyIPO dan Bahagian Penguat Kuasa KPDN komited untuk memastikan hak cipta penggiat seni terus dilindungi di bawah rangka kerja perundangan sedia ada.

"Komitmen ini berasaskan kesedaran bahawa karya dan bakat adalah harta serta sumber rezeki pengkarya. Oleh itu, menjadi tanggungjawab kerajaan memastikan harta intelek mereka terus dilindungi, bukan sahaja sepanjang kerjaya mereka tetapi juga selama mana karya tersebut dimanfaatkan oleh pengguna,” katanya.

Majlis Advokasi Royalti Muzik yang diadakan menjadi platform penting dalam usaha memperkukuh sistem hak cipta negara dan memastikan penggiat seni mendapat manfaat sewajarnya.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) sempena Aidilfitri 2025 dijangka diumumkan minggu ini.

Armizan berkata, masih terdapat beberapa perkara yang perlu diperincikan sebelum pengumuman rasmi dibuat.

"Sikit lagi nak dimuktamadkan. Kita nak pastikan pengguna dapat harga terbaik. Ada dua tiga item lagi yang sedang dikaji, kita nak tambah lebih banyak... Insya-Allah minggu ini,” katanya.