PASIR PUTEH – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) membekukan cuti kesemua 2,500 pegawai dan anggota penguat kuasa di seluruh negara sempena Ops Khas Hari Raya Aidilfitri (HRA) 2025.
Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi), Datuk Jazmanie Shafawi, berkata operasi khas yang akan bermula 24 Mac hingga 8 April itu memfokuskan penguatkuasaan dan advokasi bagi menurunkan kadar kemalangan jalan raya sepanjang musim perayaan.
Iklan
Iklan
"Sepanjang Ops Khas HRA berlangsung, kami memfokuskan kepada tujuh kesalahan berjadual seperti tidak mematuhi had laju, melanggar lampu isyarat, memotong di garisan berkembar dan barisan, memandu di lorong kecemasan serta menggunakan telefon bimbit," katanya dalam sidang akhbar semasa sesi libat urus Operasi Khas HRA 2025 JPJ Kelantan di Stesen Penguat Kuasa Bukit Jawa di sini pada Isnin.
Hadir sama ialah Pengarah JPJ Kelantan, Mohd Misuari Abdullah.
Menurut beliau, larangan ke atas kenderaan barangan akan dikuatkuasakan pada 29 dan 30 Mac serta 5 dan 6 April.
Ujarnya, JPJ komited dalam memastikan kelancaran dan keselamatan perjalanan pengguna jalan raya.
Jazmanie turut menegaskan bahawa JPJ akan memastikan aktiviti penguatkuasaan sepanjang operasi ini dilaksanakan secara efektif dan berimpak tinggi bagi mengurangkan kadar kemalangan serta kematian akibat kemalangan jalan raya.