SPRM terus siasat Ismail Sabri, beberapa fail baharu dibuka - Azam Baki

Iklan
Azam Baki (tengah) dilantik sebagai Profesor Adjung di Accounting Research Institute (ARI), UiTM pada Isnin.

SHAH ALAM – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masih meneruskan siasatan terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, dengan beberapa fail baharu telah dibuka berdasarkan maklumat terkini dan hasil risikan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan bahawa rakaman percakapan Ismail Sabri diteruskan hari ini dan akan bersambung sama ada esok atau lusa kerana masih banyak perkara yang perlu disoal.

Iklan
Iklan

"Siasatan kes ini melibatkan rasuah, salah guna kuasa, dan pengubahan wang haram. Selain daripada siasatan asal berkaitan isu Keluarga Malaysia, kami juga telah membuka beberapa fail baharu berkaitan harta-harta beliau,” katanya.

Beliau ditemui pemberita pada Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Profesor Adjung di Canseleri Tuanku Syed Sirajuddin, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, pada Isnin.

Iklan

Azam Baki (tiga dari kiri) menghadiri Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Profesor Adjung di Canseleri Tuanku Syed Sirajuddin UiTM Shah Alam di sini pada Isnin.

Terdahulu, Azam Baki dilantik sebagai Profesor Adjung di Accounting Research Institute (ARI), UiTM, dalam usaha memperkukuh penyelidikan jenayah kewangan dan tadbir urus integriti.

Iklan

Watikah pelantikan itu disampaikan oleh Naib Canselor UiTM, Profesor Datuk Ts. Dr. Shahrin Sahib.

Mengulas lanjut, Azam berkata, Ismail Sabri telah diarahkan untuk mengisytiharkan harta, yang merupakan aspek utama dalam siasatan.

Selain itu, tegasnya, bekas Perdana Menteri itu juga perlu memberi penjelasan mengenai tuduhan rasuah serta wang yang pernah ditunjukkan sebelum ini.

"Kami tidak pasti jika akan ada isu baharu pada masa akan datang, tetapi SPRM memberi jaminan bahawa siasatan akan diteruskan walaupun maklumat itu baharu timbul,” tambahnya.

SPRM menegaskan komitmennya untuk menjalankan siasatan secara telus dan profesional bagi memastikan setiap dakwaan disiasat dengan terperinci tanpa sebarang campur tangan.