KUALA LUMPUR – Pempengaruh Ainon Mohd memohon maaf kepada semua pihak yang tersinggung dengan kenyataannya yang mengaitkan Nabi Muhammad SAW dengan isu kronisme dan nepotisme.
Menerusi kenyataan yang dimuat naik di Facebooknya, beliau dengan penuh rasa hormat menerima teguran dan pandangan yang telah disampaikan oleh pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dalam pertemuan yang berlangsung pada Isnin.
"Saya juga akur dengan nasihat yang diberikan oleh Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dan Jabatan Mufti Negeri Selangor dalam perkara ini.
"Sehubungan dengan itu, saya telah menurunkan hantaran berkenaan dari platform media sosial dan ingin memohon maaf kepada semua pihak yang terkesan.
"Saya memahami kepentingan untuk lebih berhati-hati dalam berkongsi kandungan berkaitan Islam dan akan memastikan rujukan dibuat kepada pihak yang berautoriti sebelum menerbitkan sebarang penulisan pada masa hadapan,” katanya.
Beliau dalam pada itu turut menyatakan komitmennya kepada pihak berkuasa untuk memperkemas dan memperhalusi polisi penerbitan di media sosial selain merujuk pakar bidang dalam isu-isu sensitif berkaitan Nabi.
"Ini termasuklah menurunkan kandungan media sosial lain yang boleh dianggap sensitif serta memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa atas apa-apa isu berbangkit sebelum ini.”
Ainon dalam pada itu turut berjanji akan lebih berhati-hati dalam sebarang penulisan dan perkongsian pada masa akan datang serta sentiasa merujuk kepada pihak yang lebih berautoriti dalam hal-hal berkaitan agama.
Sementara itu, berkenaan isu yang sama, Jakim menyeru kepada semua pihak agar tidak mencetuskan kekeliruan dan kegelisahan awam dengan menimbulkan apa-apa perkara yang boleh mencemarkan kemuliaan baginda sebagai utusan Allah SWT serta mengganggu keharmonian umat Islam di negara ini.
"Jakim menghargai setiap usaha yang dilakukan oleh para pemain industri penerbitan buku di Malaysia dalam memandaikan umat melalui medium tersebut dan sebagai salah satu medium dakwah.
"Walau bagaimanapun, Jakim berharap agar semua pihak lebih berhati-hati dan tidak sewenang-wenangnya membuat sandaran kepada baginda Nabi Muhammad SAW demi menjaga kesucian nama serta martabat baginda sebagai utusan Allah SWT,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.