PENAMPANG – Tindakan tiga pemandu yang memandu secara berbahaya dengan memotong sebuah lori di kawasan garisan berkembar dan selekoh di Jalan Penampang-Tambunan membawa padah apabila mereka dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang untuk siasatan lanjut.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintenden Sammy Newton berkata, pihaknya terkesan dengan satu video tular di media sosial yang menunjukkan tindakan tiga kenderaan terbabit memintas sebuah lori sehingga mengundang bahaya kepada pemandu dari arah bertentangan.
"Rakaman video berdurasi 27 saat itu tular di media sosial dan hasil siasatan awal mendapati kejadian berlaku pada jam 1.41 tengah hari Ahad.
"Insiden itu melibatkan tiga kenderaan yang memotong sebuah lori di hadapan di kawasan selekoh dengan garisan berkembar, menyebabkan kenderaan dari arah bertentangan terpaksa berhenti bagi mengelakkan kemalangan," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Beliau berkata, ketiga-tiga pemandu berkenaan telah berjaya dikesan dan kenderaan yang dipandu semasa kejadian telah dibawa ke IPD Penampang untuk tindakan lanjut.
"Bagaimanapun, saksi kejadian juga diminta tampil memberikan maklumat bagi membantu siasatan dan boleh berhubung terus dengan pegawai penyiasat, Inspektor Amrin Mohamad Arif di talian 017-6638278.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih lima tahun dan denda sehingga RM15,000 sekiranya disabitkan kesalahan," katanya.
Dalam pada itu, Sammy turut menasihatkan pengguna jalan raya agar sentiasa berhati-hati dan mematuhi undang-undang lalu lintas bagi mengelakkan kejadian tidak diingini, terutama menjelang musim perayaan ini.