SHAH ALAM - Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa mutlak melantik Perdana Menteri dan bukannya Dewan Rakyat.
Ahli Majlis Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Dr Rais Yatim menerusi Twitternya hari ini seolah-olah tidak bersetuju dengan cadangan mengadakan sidang khas Dewan Rakyat bagi menentukan Perdana Menteri baharu.
"Kenapa masih ribut-ribut konon Dewan Rakyat akan tentukan siapa jadi Perdana Menteri 2 Mac ini?
"Kuasa melantik Perdana Menteri di tangan Yang di-Pertuan Agong bukan di Dewan Rakyat. Patut Agong sudah buat keputusan hasil dua hari temuduga dengan Ahli Parlimen.
"Peguam Negara, tolonglah beri nasihat yang betul kepada Yang di-Pertuan Agong. Di Dewan Rakyat cuma boleh undi percaya atau tidak percaya,” tulisnya.
Semalam, Perdana Menteri Interim, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, calon Perdana Menteri akan ditentukan pada Persidangan Khas Dewan Rakyat yang akan diadakan pada 2 Mac depan.
Katanya, perkara itu terpaksa dilakukan berikutan pertemuan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dengan ahli Parlimen selama dua hari yang berakhir semalam tidak menemukan calon yang memperoleh majoriti jelas.
ARTIKEL BERKAITAN: Sidang Parlimen Khas akan tentukan calon Perdana Menteri: Tun M
Tiada keperluan bertemu Dr Mahathir: Anwar
Mesyuarat khas Majlis Raja-raja diharap rungkai kemelut politik negara