MAIWP anjur iftar ala Madinah bersama hampir 500 anak yatim, asnaf

Iklan
Wawancara eksklusif bersama Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Syed Kamarulzaman Syed Kabeer di Menara MAIWP pada Isnin. FOTO: SINAR HARIAN-MOHD HALIM ABDUL WAHID Wawancara eksklusif bersama Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Syed Kamarulzaman Syed Kabeer di Menara MAIWP pada Isnin. FOTO: SINAR HARIAN-MOHD HALIM ABDUL WAHID
Wawancara eksklusif bersama Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Syed Kamarulzaman Syed Kabeer di Menara MAIWP pada Isnin. FOTO: SINAR HARIAN-MOHD HALIM ABDUL WAHID

KUALA LUMPUR - Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) buat julung kalinya akan menganjurkan iftar berkonsepkan ala Madinah bersama hampir 500 jemputan melibatkan anak yatim dan pelajar dari keluarga berpendapatan rendah.

Pengerusinya, Syed Kamarulzaman Syed Kabeer berkata, program yang bakal diadakan pada 20 Mac di Kompleks Darul Kifayah, Batu Muda, di sini bertujuan memberikan pengalaman berbeza dan suasana berbuka puasa seperti di Madinah kepada penghuni Darul Kifayah dan Pondok Moden Al-Abaqirah.

Iklan
Iklan

Menurutnya, program yang mendapat kerjasama Sinar Karangkraf itu merupakan salah satu medium untuk mempromosikan fungsi, peranan serta aktiviti MAIWP kepada masyarakat dan secara tidak langsung dapat mengenal pasti golongan memerlukan.

"Insya-ALLAH kita akan libatkan hampir 500 jemputan melibatkan pelajar di dua institusi tersebut berumur lingkungan 11 hingga 17 tahun dan termasuk juga guru serta kakitangan MAIWP.

Iklan

"Banyak duit zakat telah diamanahkan masyarakat kepada MAIWP dan tahun lepas jumlah kutipan mencapai RM1.13 bilion, jadi mereka perlu tahu apa yang MAIWP lakukan dengan keseluruhan zakat tersebut.

"Kita buat program ini supaya masyarakat termasuk pelajar cakna mengenai MAIWP yang bukan sahaja mempunyai 38 skim untuk membantu golongan asnaf tetapi MAIWP juga ada menyediakan rumah anak yatim di Kuala Lumpur serta Labuan," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Iklan

Tambah Syed Kamarulzaman, pihaknya juga mahu menguar-uarkan kepada masyarakat mengenai kewujudan institusi tersebut yang bukan sahaja membantu masyarakat dari segi kewangan, namun termasuk dari segi pendidikan dan kesihatan.

"Sesetengah asnaf mungkin sudah tidak berubah kerana faktor umur, sakit dan sebagainya, jadi kita lihat pula kepada anak-anak mereka dengan memberi pendidikan yang mana MAIWP mempunyai 79 tadika di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

"Ada juga sekolah rendah dan menengah, tahfiz, institusi kemahiran Baitulmal untuk mereka yang mahu pergi ke bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta universiti.

"Maka, kita ada banyak institusi pendidikan untuk meningkatkan ilmu dan kemahiran supaya mereka mendapat pekerjaan yang lebih baik dengan harapan mereka dapat keluar daripada kepompong kemiskinan," ujarnya.

Dalam pada itu, Syed Kamarulzaman berkata, MAIWP memilih pelajar daripada dua institusi berkenaan untuk terlibat sama dalam program berkenaan bagi mempromosikan Kompleks Darul Kifayah yang merupakan asrama anak yatim dan mereka yang dari keluarga berpendapatan rendah.

Selain itu, beliau berkata, Pondok Moden Al-Abaqirah merupakan institusi pendidikan pondok yang berteraskan Kokurikulum Kebangsaan dan pengajian Kitab Turath.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang terlibat terutama pihak Sinar Karangkraf, pengurusan Darul Kifayah dan Pondok Moden serta Unit Komunikasi Korporat MAIWP dalam menjayakan program ini. Saya berharap program ini akan dapat berjalan lancar," katanya lagi.