IKON bola sepak Argentina, Lionel Messi terpaksa diketepikan daripada skuad kendalian Lionel Scaloni untuk aksi kelayakan Piala Dunia 2026 menentang Uruguay dan Brazil.
Penyerang berbisa itu berusia 37 tahun tersebut mengalami kecederaan otot yang menghalangnya daripada menyertai skuad La Albiceleste ke Uruguay.
Argentina kembali membuka gelanggang kempen kelayakan zon Amerika Selatan berdepan La Celeste kendalian Marcelo Bielsa di Centenario pada 22 Mac.
Selepas itu, La Albiceleste kemudian akan melayan gergasi Amerika Selatan, Brazil di Estadio Mâs Monumental, pada 26 Mac, yang tanpa khidmat penyerang utama Neymar.
Neymar, yang dijadualkan membuat kemunculan semula bersama Seleção bimbingan Dorival Júnior selepas lebih setahun, terpaksa diketepikan akibat kecederaan otot.
Messi, yang menjaringkan gol menakjubkan ketika Inter Miami menang 2-1 ke atas Atlanta United dalam saingan Liga Bolasepak Utama (MLS), dilaporkan mengalami ketidakselesaan otot, menurut laporan media tempatan.
Akibatnya, bekas bintang kelab La Liga Sepanyol, Barcelona, dan Ligue 1 Perancis, Paris Saint-Germain (PSG) berkenaan dikeluarkan daripada senarai skuad Argentina pada Isnin, dan akan kekal di Amerika Syarikat untuk menjalani proses pemulihan.
Sebagai rekod, Argentina, kini mendahului kedudukan kelayakan CONMEBOL dengan 25 mata diekori rapat Uruguay (20 mata), Ecuador (19 mata), Colombia (19 mata), Brazil (18 mata), Paraguay (17 mata) selepas 12 perlawanan.