NIBONG TEBAL - Setiap kali tibanya bulan Ramadan, beberapa lokasi di daerah Seberang Perai Selatan di sini menjadi tumpuan ramai kerana tradisi unik menikmati hidangan kerang rebus dan pelbagai jenis siput untuk santapan moreh.
Fenomena ini bukan sahaja menarik penduduk tempatan, malah pengunjung dari luar kawasan yang ingin merasai kelazatan hidangan istimewa ini sejak puluhan tahun lagi.
Tidak keterlaluan untuk gambarkan fenomena menikmati moreh dengan pelbagai jenis kerang dan aneka siput amat dinantikan ramai penggemar makanan eksotik ini malah ia dijadikan menu khas sepanjang Ramadan kebanyakan gerai dan kedai makan di beberapa kawasan tumpuan di sini.
Hidangan ini yang dinikmati bersama kuah kacang dan air asam bukan sahaja menjadi tradisi puluhan tahun, malah menarik perhatian pengunjung dari luar negeri seperti Terengganu dan Johor.
Seorang penggemar, Nur Farra Asyikin Mohd Fauzi Ooi berkata, hidangan ini lebih ringan dan sesuai dinikmati bersama rakan serta keluarga selepas solat tarawih.
"Kita kalau moreh tu nak benda yang ringan. Kerang dan siput rebus ini segar dan cicah dengan air asam memang sedap.
"Lagi pula, setahun sekali sahaja kita dapat menikmatinya sebab pada bulan biasa, kita kurang makan kerang," katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.
Bagi Muhammad Fitri Shukeri, pengalaman menikmati moreh kerang dan siput di Nibong Tebal adalah yang pertama kali baginya selepas melihat keunikan menu ini tular di media sosial.
"Sebelum ni kalau makan kerang bukan di sini, tapi di tempat lain. Tahun ini pertama kali datang sebab menjadi tular moreh kerang dan siput di media sosial.
"Setahun sekali menu istimewa ini dihidangkan di sekitar sini walaupun terpaksa tempuh perjalanan jauh sikit, janji puas hati dapat makan," katanya.
Sementara itu, penjawat awam, Norita Jalil yang berasal dari Johor pula berkongsi tradisi ini turut menjadi medium untuk mengeratkan hubungan sesama rakan sekerja.
"Setiap tahun, kami akan berkumpul ramai-ramai selepas tarawih untuk moreh bersama...Kerang dan siput ini memang sinonim dengan Ramadan, jadi inilah peluang kami untuk menikmatinya.
"Saya dari Johor, jarang dapat rasa menu sebegini. Nampaknya, di sini sudah jadi budaya atau trend setiap tahun," katanya.
Salah satu lokasi yang menjadi tumpuan ialah Kedai Wanis Char Kuey Teow di Jawi yang menyediakan set raja siput sejak lima tahun lalu.
Antara lokasi yang menjadi tumpuan ialah Wanis Char Kuey Teow Penang Raja Siput di Nibong Tebal.
Pemiliknya, Noor Erwan Mohd Nordin berkata, permintaan luar biasa diterima setiap kali Ramadan terutamanya pada hari minggu.
Beliau berkata, setiap hari dia perlu mendapatkan lebih satu tan bekalan kerang dan siput di beberapa pembekal termasuk dari Kuala Kurau, Perak dan Kuala Muda, Kedah untuk menampung permintaan pelanggan setiap hari.
"Syukur, alhamdulillah kerana fenomena ini memberikan peluang kepada peniaga di sini menambah pendapatan di bulan Ramadan kerana sambutan sangat menggalakkan, malah ada pelanggan sanggup datang dari sejauh Terengganu dan Lumut semata-mata untuk menikmati hidangan ini.
"Setiap hari saya perlu sediakan kira-kira 300 kilogram kerang dan 800 kilogram pelbagai jenis siput seperti siput duri, unam, lokan dan belangkas yang menjadi pilihan ramai setiap malam," katanya.
Mengakui pada Ramadan kali ini ramai peniaga yang mengusahakan menu istimewa ini di beberapa tempat lain, Noor Erwan berkata, apa yang membezakan hidangan di kedainya adalah keenakan kuah kacang, kuah asam dan sos yang disediakan bersama.
Katanya, dengan ramuan sendiri yang digunakan itu kerang dan siput yang direbus tidak berbau hanyir serta selamat dimakan oleh semua lapisan umur.
Jelasnya, set raja siput ditawarkan di kedainya dijual dengan harga serendah RM20 bagi setengah kilogram dan RM40 bagi satu kilogram.
Beliau berkata, Wanis Char Kuey Teow Penang dibuka setiap hari sepanjang Ramadan dan akan ditutup sehari sebelum Aidilfitri.