BUTTERWORTH - Ramadan tahun ini membawa kegembiraan buat penghuni sebuah rumah kebajikan Pertubuhan Al-Qayyim dan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Pendidikan Khas Bumbong Lima apabila tidak putus-putus menerima jemputan ke pelbagai majlis istimewa terutama berbuka puasa.
Boleh dikatakan jadual aktiviti sepanjang bulan puasa mereka cukup padat apabila diundang pelbagai pihak yang mahu berkongsi keceriaan menyambut Ramadan dan juga hari raya yang akan diraikan tidak lama lagi.
Pelajar, Ahmad Husni Hassan,16, menzahirkan rasa syukur dengan keprihatinan masyarakat yang tidak melupakan insan seperti mereka untuk berkongsi rezeki sepanjang bulan mulia ini.
"Alhamdulillah, kami menerima banyak jemputan berbuka puasa daripada banyak pihak termasuk hotel ternama dan memberi peluang kepada kami menikmati hidangan enak yang jarang dirasakan ketika di asrama.
"Sudah tentu seronok bila dapat bersama kawan-kawan diraikan dalam majlis diadakan termasuk pemberian duit raya sebagai tanda kasih sayang daripada penganjur," katanya ketika ditemui Sinar Harian.
Pelajar, Nur Aina, 14, berkata, pengalaman berbuka di hotel mewah bersama rakan-rakan antara saat yang dinantikan setiap tahun selain berpeluang mengikuti pelbagai aktiviti diadakan.
Menurutnya, meskipun terkenang adik beradik lain serta kedua ibu bapa yang telah lama meninggal dunia namun semuanya terubat dengan layanan mesra penganjur sepanjang majlis.
"Makanan di sini sangat sedap. Saya suka kambing panggang dan aneka pencuci mulut yang disediakan.
"Boleh dikatakan setiap Ramadan kami dimurahkan rezeki dengan sumbangan duit raya dan hadiah lain yang diterima," katanya.
Sementara itu, Pengurus Operasi Ixora Hotel, Ahmad Idrus Ahmad Ismail berkata, menjadi tradisi tahunan pihaknya untuk meraikan Ramadan dengan berkongsi rezeki dan menceriakan golongan kurang bernasib baik.
Beliau berkata, untuk tahun ini seramai 50 anak-anak diraikan termasuk mereka yang terdiri daripada pelajar kurang upaya penglihatan, cabaran pembelajaran, masalah pendengaran serta mereka yang berasal dari keluarga asnaf.
"Kesemua mereka diraikan dengan penuh kasih sayang melalui pengalaman berbuka puasa yang istimewa.
"Tetamu jemputan diraikan dengan bufet Ramadan di Ixora Hotel yang menyajikan lebih 50 jenis hidangan tradisional Melayu termasuk lambing golek, nasi briyani dengan kambing masak rose, serta 10 jenis kuih tradisional Melayu," katanya.
Tambah beliau, program ini merupakan sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) hotel dalam memberi kembali kepada masyarakat, khususnya dalam bulan penuh keberkatan ini.