KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Gempa bumi bermagnitud 5.6 pada skala Richter dilaporkan berlaku di Mandailing Natal, Sumatera Utara, Indonesia, pada jam 6:23 pagi waktu tempatan.
Badan Meteorologi, Klimatologi, dan Geofisika (BMKG) mengesahkan kejadian itu menerusi satu hantaran di platform X.
BMKG melaporkan, kedalaman pusat gempa tersebut adalah 109 kilometer.
Bagaimanapun, pihaknya menyatakan bahawa gempa tersebut tidak berpotensi menyebabkan ancaman tsunami.
Gegaran turut dilaporkan dirasai di beberapa kawasan di Semenanjung Malaysia, terutamanya di Lembah Klang.
Sementara itu, menurut kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), gempa dengan kedalaman 10 kilometer (km) itu berlaku pada jarak 41 km timur dari Sibolga, Indonesia.
Gegaran gempa bumi itu turut dirasai di Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.
Bagaimanapun, tiada ancaman tsunami kepada Malaysia.