Nuzul al-Quran: Peringatan penting bagi umat Islam, titah Sultan Pahang

Iklan
Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah menzahirkan ucapan Nuzul al-Quran pada malam Isnin. Foto Kesultanan Pahang Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah menzahirkan ucapan Nuzul al-Quran pada malam Isnin. Foto Kesultanan Pahang
Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah menzahirkan ucapan Nuzul al-Quran pada malam Isnin. Foto Kesultanan Pahang

KUANTAN - Peristiwa Nuzul al-Quran bukan hanya sekadar sejarah, tetapi juga suatu peringatan kepada umat Islam untuk menghayati serta mempraktikkan ajaran kitab suci dalam kehidupan seharian.

Demikian titah Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menerusi satu hantaran di Facebook Kesultanan Pahang pada tengah malam Isnin.

Iklan
Iklan

Baginda berdua turut menzahirkan ucapan selamat menyambut Hari Nuzul al-Quran kepada seluruh umat Islam, khususnya rakyat negeri ini.

"Peristiwa ini amat besar maknanya kerana memperingati turunnya wahyu pertama daripada ALLAH SWT kepada Nabi Muhammad SAW sebagai panduan hidup bagi seluruh umat manusia.

Iklan

"Semoga melalui pembacaan dan pengamalan al-Quran, kita dapat memperkukuhkan keimanan, meningkatkan ketakwaan serta menegakkan keadilan dan kebaikan dalam masyarakat," titah baginda berdua.

Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah juga mengajak semua umat Islam untuk turut bersama-sama menjaga keharmonian dan kesejahteraan negara ini.

Iklan

"Berdoa agar ALLAH SWT sentiasa memberikan rahmat dan keberkatan kepada semua," titah baginda.

Sebelum itu, Tunku Azizah turut berkenan berangkat ke Majlis Tadarus dan Khatam al-Quran Wanita Peringkat Pahang Darul Makmur tahun 2025 di Masjid Darul Fikri, Bera pada Isnin.

Menerusi perkongsian di Facebook tersebut, Tunku Azizah berkenan meluangkan masa membaca kalam suci itu bersama-sama kir-kira 1,000 wanita yang hadir mengimarahkan majlis berkenaan yang diadakan sempena Nuzul al-Quran yang disambut hari ini.

Dalam majlis sama, baginda juga turut berkenan menyempurnakan pengurniaan sumbangan kepada 50 orang asnaf dan anak yatim.