GEORGE TOWN - Syarikat pemaju hartanah milik agensi kerajaan, JKP Sdn Bhd kini dalam usaha melakukan kerja-kerja baik pulih dan membaiki aduan kecacatan projek perumahan yang dikemukakan pembeli.
Menerusi satu kenyataan, syarikat milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) itu menyatakan pihaknya mengambil maklum mengenai aduan yang telah dikemukakan oleh pembeli rumah di Taman Ilmu (Sarra) sebelum ini.
"Kami ingin menegaskan bahawa syarikat sentiasa komited dalam memastikan kepuasan pembeli serta pematuhan kepada semua keperluan perundangan dan standard industri.
"Kami juga ingin memaklumkan bahawa langkah-langkah proaktif telah diambil bagi menyelesaikan isu yang dibangkitkan," katanya dalam kenyataan yang dimuat naik dalam laman sosial syarikat terbabit.
Sebelum ini, Sinar Harian menerusi laporan Apa Khabar Rakyat melaporkan sekumpulan pembeli yang kecewa dengan projek perumahan baharu dibeli mereka mengalami banyak kerosakan dan dikatakan hanya indah khabar dari rupa.
Dakwa mereka meskipun banyak aduan dan laporan kerosakan telah dikemukakan terutama berkaitan kualiti rumah namun lebih dikesalkan apabila kerja-kerja baik pulih yang dilakukan kontraktor pemaju sangat perlahan.
Rata-rata mereka memaklumkan banyak kecacatan dikesan pada rumah mereka meskipun kediaman yang dibeli belum pernah dihuni.
Runsing dengan masalah itu menyebabkan ada di antara mereka terpaksa mengeluarkan kos sendiri untuk membaiki kecacatan kerana sudah letih menunggu tindakan dan baik pulih dilakukan oleh kontraktor dilantik pemaju.
Sementara itu, JKP Sdn Bhd dalam kenyataan sama menghargai maklum balas daripada pembeli dan akan terus berusaha meningkatkan mutu perkhidmatan serta produk yang ditawarkan.
Sebarang pertanyaan atau maklumat lanjut, pembeli boleh menghubungi kami di talian 1800-22-1180 / 042284071 atau info@jkpsb.com.my.