MUAR - Seorang wanita maut selepas motosikal ditunggangnya merempuh bahagian belakang sebuah lori yang berhenti di lorong kecemasan di kilometer (KM), 136.8 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara pada petang Isnin.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, polis menerima laporan mengenai kejadian itu pada jam 6.32 petang.
Menurutnya, siasatan awal mendapati sebuah lori yang dipandu lelaki tempatan berusia 34 tahun berhenti di lorong kecemasan kerana kehabisan bahan bakar dan pemandu lori juga telah meletakkan kon keselamatan serta menghubungi pihak PLUS untuk bantuan.
"Bagaimanapun, sebuah motosikal ditunggang wanita berusia 22 tahun itu yang datang dari arah belakang telah melanggar bucu belakang kanan lori tersebut.
"Akibat perlanggaran itu, penunggang motosikal mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, sementara pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda maksimum RM50,000 jika sabit kesalahan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta tampil ke Balai Polis Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.