Kemasukan tanpa visa Thailand bakal dipendekkan kepada 30 hari

Iklan
Kerajaan Thailand bakal memendekkan tempoh kemasukan tanpa visa daripada 60 kepada 30 hari.

BANGKOK - Kerajaan Thailand bakal memendekkan tempoh kemasukan tanpa visa daripada 60 kepada 30 hari bagi mengekang kegiatan warga asing yang menyalahgunakan kemudahan tersebut untuk menjalankan perniagaan haram di negara itu.

Menteri Pelancongan dan Sukan Thailand, Sorawong Thienthong berkata, keputusan berkenaan dipersetujui selepas pihak berkuasa menerima banyak aduan berhubung peningkatan aktiviti perniagaan haram melibatkan warga asing di negara tersebut sejak kebelakangan ini.

Iklan
Iklan

"Semua pihak bersetuju untuk memendekkan tempoh kemasukan kepada 30 hari bagi pelancong yang menikmati kemudahan pengecualian visa di bawah program berkenaan.

"Perincian lanjut bagaimanapun masih perlu dibincangkan sebelum pengumuman rasmi dibuat mengenai pindaan peraturan tersebut,” kata beliau.

Iklan

Sejak Julai 2024, kerajaan Thailand membenarkan pemegang pasport dari 93 negara memasuki negara itu bagi tujuan pelancongan untuk tempoh tidak melebihi 60 hari, berbanding hanya 57 negara sebelum ini.

Langkah tersebut diluluskan bagi meningkatkan sektor pelancongan dengan memberikan pengecualian visa, menambah negara dalam senarai visa semasa ketibaan dan memperkenalkan kategori visa baharu.

Iklan

Sementara itu, setiausaha Sorawong, Natthriya Thaweevong berkata, pihaknya telah mengarahkan Jabatan Pelancongan untuk memperketatkan penguatkuasaan Akta Perniagaan Pelancongan dan Pemandu Pelancong untuk membanteras kegiatan haram melibatkan warga asing.

Menurutnya, pasukan operasi khas melibatkan enam agensi termasuk jabatan pelancongan dan polis pelancong turut giat menjalankan siasatan di beberapa kawasan tumpuan seperti Phuket, Chiang Mai, Pattaya, Hua Hin, Koh Samui dan Bangkok.

"Sepanjang tahun 2024, sebanyak 40 lesen syarikat pelancongan telah dibatalkan selepas mereka didapati menukar pengarah dan struktur pemegang saham secara tidak sah.

"Di Phuket sahaja, 15 syarikat pelancongan dikenakan tindakan termasuk satu kes yang mana seorang ahli lembaga syarikat didaftarkan di bawah lima syarikat berbeza,” katanya.

Dalam pada itu, pengusaha industri pelancongan menyuarakan kebimbangan berhubung tempoh yang terlalu panjang memandangkan pelancong jarak jauh secara purata hanya tinggal antara 14 hingga 21 hari.

"Pelancong dari jarak dekat pula menginap sekitar tujuh hari sahaja bagi setiap lawatan. Persatuan Ejen Pelancongan Thailand sebelum ini turut menyuarakan kebimbangan kepada kementerian apabila wujud peningkatan jumlah warga asing yang bekerja atau menjalankan perniagaan secara haram di negara ini.

"Persatuan Hotel Thailand pula percaya keadaan itu turut mendorong kepada peningkatan jumlah unit kondominium yang disewakan secara harian kepada pelancong secara haram,” katanya. - Agensi